Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Showing posts with label Dato Seri Utama Haji Mohamad Haji Hasan. Show all posts
Showing posts with label Dato Seri Utama Haji Mohamad Haji Hasan. Show all posts

Tuesday, 31 July 2012

Golongan Fakir Miskin Tidak Dilupakan @menteribesarn9



Menteri Besar Incorporated (MBI) hari ini telah memperuntukkan sumbangan lebih kurang RM420,000 untuk diagihkan kepada kira-kira 1400 orang penerima baitulmal dan asnaf fakir miskin di daerah Rembau.
Lebih mengembirakan golongan ini juga turut menerima tambahan RM300 setiap seorang bagi membuat persediaan di  bulan Ramadhan dan Syawal tidak lama lagi.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Bin Haji Hasan berkata, majlis ini diadakan secara menyeluruh agar asnaf fakir miskin dan warga emas yang layak menerima bantuan tidak akan ada lagi yang tercicir.

Menurut beliau lagi, Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) telah memperuntukan sebanyak RM1.8 juta untuk diagihkan kepada lebih kurang 5,820 asnaf fakir miskin di seluruh daerah di Negeri Sembilan.

“Kita telah memastikan bahawa sebelum-sebelum ini masih terdapat golongan yang memerlukan tercicir dari mendapatkan bantuan. Oleh yang demikian, kerajaan mengambil langkah drastik untuk mewujudkan Dasar Jaringan Keselamatan Sosial di negeri ini,” jelas beliau kepada sidang media selepas menyampaikan sumbangan bersempena bulan Ramadhan di Dewan Seri Rembau, petang tadi.

Hadir sama menyampaikan sumbangan Ahli Parlimen Rembau, Tuan Haji Khairy Jamaluddin Bin Abu Bakar, ADUN Kota, Dato’ Dr. Haji Awaludin Bin Said, ADUN Chembong, Tuan  Zaifulbahri Bin Idris, dan isteri Menteri Besar, Raja Datin Seri Hajah Salbiah Tengku Nujumudin.
 sumber : n9kini

Friday, 25 May 2012

Semboyan Perang UMNO Rembau telah ditiupkan

Inilah barisan kita
Yang ikhlas berjuang
Siap sedia berkorban
Untuk ibu pertiwi

Sebelum kita berjaya
Jangan harap kami pulang
Inilah sumpah pendekar kita
Menuju medan bakti

Andai kata kami gugur semua
Taburlah bunga di atas pusara
Kami mohon doa
Malaysia berjaya


Semboyan telah berbunyi
Menuju medan bakti

UMNO Bahagian Rembau yang diketuai oleh YAB Dato' Seri Utama Haji Mohamad Haji Hasan telah meniupkan 'Semboyan Perang' bagi menghadapi pilihanraya ke-13 yang akan datang. Walaupun kerja jentera parti telah dilakukan sejak PRU yang lepas, simbolik pengisytiharan semalam menunjukkan UMNO telah bersedia pada bila-bila masa untuk menghadapi pilihanraya.

Sunday, 20 May 2012

Keseronokan Jelajah Hutan Dalam Bandar di Negeri Sembilan

Negeri Sembilan mempunyai produk pelancongan terkini apabila Hutan Simpan Sungai Menyala akan dibuka kepada orang ramai pada bulan depan
Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, produk terbaru itu yang dipromosikan merupakan 'Hutan Dalam Bandar' dan Pusat Pelancongan Pendidikan Pengurusan Hutan Tropika pertama di negara ini disebabkan statusnya sebagai hutan dara yang masih wujud di Semenanjung Malaysia.

''Hutan lipur di negeri ini kebanyakannya terletak di tanah lembah, tetapi Pusat Pelancongan Pendidikan Pengurusan Hutan Tropika ini berada di hutan tanah pamah yang menjadikan ia satu lokasi unik untuk diterokai," katanya di Port Dickson dekat sini baru-baru ini.

Justeru, beliau menggalakkan pengusaha hotel di sekitar Port Dickson mengatur pakej lawatan ke lokasi tersebut bagi memperkenalkan produk baru pelancongan, di samping mempergiatkan aktiviti ekonomi.

Katanya, kemudahan yang disediakan amat memuaskan hati tetapi masih ada projek yang belum didirikan lagi.
''Perancangan Jabatan Perhutanan negeri bagi pembinaan Skyway yang dibuat daripada aluminium merupakan sesuatu yang menarik.

''Dengan ketinggian jejantas 30 meter dan laluan sepanjang 500 meter menuju ke menara setinggi 50 meter, pelancong akan berpeluang melihat flora dan fauna di sini," katanya.

Mohamad berkata, selain boleh menjadi tarikan baru pelancongan negeri, ia juga amat sesuai bagi menjalankan aktiviti penyelidikan mengenai hutan tropika, selain mempunyai kemudahan penginapan, dewan, bilik mesyuarat dan perpustakaan.

Dalam pada itu, Pengarah Perhutanan negeri, Ahmad Fadzil Abdul Majid berkata, sehingga kini, pihaknya hanya menerima pengunjung daripada jabatan kerajaan untuk menjalankan kursus.

''Kita akan menambah bilangan kakitangan apabila ia dibuka kepada umum kelak bagi mengawasi kawasan yang luas ini," katanya.

Katanya, apabila ia dibuka kelak, akan ada pemandu pelancong dalam kalangan kakitangan jabatan dan pengunjung dibawa melihat flora dan fauna, tumbuh-tumbuhan, hidupan liar, selain dibawa ke pameran Orang Asli serta jabatan ini.

''Sehingga kini, sebanyak RM5.5 juta dibelanja bagi membangunkan infrastruktur di sini yang diperbuat dari kayu balak dan beberapa juta lagi masih diperlukan bagi membina Skyway dan beberapa projek lain," katanya.

Tuesday, 8 May 2012

Port Dickson Pantai Peranginan Negara






SEREMBAN 8 Mei - Kawasan Port Dickson akan terus dibangunkan sebagai Pantai Peranginan Negara tanpa meninggalkan entiti bandar tersebut sebagai Bandar Tentera Darat.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, usaha pembangunan tersebut telah diputuskan sebagai dasar kerajaan negeri dan ia diharap dapat membantu memartabatkan organisasi ketenteraan negara sekali gus menambah kunjungan orang ramai ke negeri ini.

''Kita akan pastikan supaya kawasan bandar Port Dickson ini akan dijadikan sebagai dua entiti yang terkemuka termasuklah menjadikan bandar itu sebagai Pantai Peranginan Negara selain Bandar Tentera Darat.



Wednesday, 18 January 2012

Manifesto PR Negeri Sembilan cedok idea BN

Kerajaan Negeri menasihatkan kepada seluruh rakyat negeri ini agar tidak terpengaruh dengan manifesto Pakatan Rakyat (PR) yang dilancarkan baru-baru ini, di Gemas.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, manifesto itu sebenarnya berasaskan apa yang telah dilaksanakan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN). Menurutnya, pembangkang hanya mencedok idea Kerajaan Negeri dan menidakkan apa yang pernah dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri selama ini.

“Mereka (PR) hanya ambil idea dan pelaksanaan kita (BN), kemudian mencari sesuatu yang tidak betul untuk menyelar BN.

“Apa yang pasti, semua idea dalam manifesto berkenaan telah kita laksanakannya, misalnya pengisytiharan harta benda, BN telah lama lakukannya.

“Macam saya, semua harta benda saya isytiharkan dan hantar maklumat kepada Perdana Menteri, manakala semua ahli Exco Kerajaan Negeri pula, mereka isytiharkan kepada saya, selaku Menteri Besar," katanya.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat Exco Kerajaan Negeri, di Wisma Negeri, semalam. Mohamad berkata, BN adalah parti yang buat kerja dan tidak suka menabur janji berbanding pihak lain.

credit : SARINAH MAT KASIM

Bangunan tiga tingkat bilik darjah tambahan SJKC Putra akan dibina-MBN9

SEREMBAN 18 Jan. - Sebuah bangunan baru tiga tingkat yang bakal menempatkan bilik darjah tambahan akan dibina di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Putra, Nilai dekat sini menerusi kutipan dana RM1 juta hasil sumbangan orang ramai.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, pembinaan bangunan itu meliputi 14 kelas tambahan termasuk kemudahan bilik makmal, perpustakaan serta ruang bengkel kemahiran hidup.

"Tahniah saya ucapkan kepada lembaga pengelola, ibu bapa, pihak sekolah, penduduk setempat khususnya Tan Sri Gan Kong Seng kerana menderma sekali gus berjaya mengumpul dana sebanyak RM1 juta ke arah merealisasikan pembinaan bangunan baru tiga tingkat di sekolah ini.

"Bangunan baru ini dijangka siap dalam tempoh lapan bulan dan boleh digunakan selewat-lewatnya hujung tahun ini," katanya pada majlis pecah tanah pembinaan bangunan itu dan Penyampaian sumbangan kepada warga miskin sempena Tahun Baru Cina di padang sekolah berkenaan semalam.

Kerajaan peruntuk RM500,000 bina jambatan-MBN9

SEREMBAN 18 Jan. - Kerajaan negeri memperuntukkan hampir RM500,000 bagi menampung kos pembinaan jambatan baru di kampung Batu 11 1/4 Jalan Mantin, dekat sini bagi menggantikan jambatan asal yang roboh akibat banjir, baru- baru ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, kerja pembinaan akan dilakukan dengan segera bagi memastikan keselamatan serta kesejahteraan penduduk terus terpelihara.

''Kami amat prihatin dengan nasib penduduk di sini yang terpaksa membina sendiri jambatan sementara berikutan jambatan lama itu telah roboh.

''Kita akan pastikan jambatan baru yang bakal dibina ini lebih kukuh dan tinggi sedikit daripada saiz dan struktur sebelum ini," katanya pada sidang media lawatan sehari ke sekitar Nilai dan Mantin, semalam.

Jelas Mohamad, penduduk di kawasan berkenaan juga sering menghadapi masalah banjir lebih-lebih lagi ketika musim hujan.

''Berdasarkan pemerhatian, saya mendapati sungai di kampung ini juga semakin mengecil dan cetek, sebab itu setiap kali hujan air pasti akan melimpah sehingga mengakibatkan banjir.

''Maka saya akan pastikan pihak berkenaan mengorek serta membesarkan sungai di kampung ini sekali gus mengatasi masalah banjir yang sering dihadapi penduduk," ujarnya.

Katanya, memandangkan kawasan berkenaan tidak mempunyai kemudahan lampu jalan, pihaknya akan meminta Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk memasang lampu silang di sekitar lokasi terbabit.

Kampung berkenaan didiami kira-kira 100 orang penduduk hampir 50 tahun dan jambatan tersebut merupakan laluan utama mereka untuk keluar masuk kawasan terbabit

Tuesday, 22 November 2011

Datanglah beramai-ramai ke Karnival ICT NS 2011


Kerajaan Negeri Sembilan akan menganjurkan Karnival ICT Negeri Sembilan 2011 pada 25 hingga 27 November 2011 bertempat di Kompleks Belia dan Sukan Paroi. 

Menteri Besar Negeri Sembilan menyatakan bahawa karnival ini diadakan selaras dengan hasrat Kerajaan Negeri untuk menjadikan Kerajaan Negeri yang berasaskan ICT.

Bagi merealisasikan hasrat ini, Kerajaan Negeri, Rangkaian Minang (NS) Sdn Bhd selaku One Stop ICT Implementation Agency (OSA) akan bekerjasama dengan Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN), Pengurusan Teknologi Maklumat (UPTM), Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan dan Telekom Malaysia (TM).

Selain daripada itu, karnival ini juga adalah bertujuan untuk melancarkan Pelan Strategik Teknologi Maklumat Negeri (ISP) yang merupakan blueprint atau kertas dasar Kerajaan Negeri.

Ini merupakan langkah permulaan untuk mencapai visi Kerajaan Negeri ke arah e-Connected State. Kerajaan Negeri juga akan bekerjasama dengan SKMM, MDeC dan MOSTI supaya semua projek yang telah dirancang dapat dilaksanakan dalam masa yang ditetapkan.
 

Thursday, 17 November 2011

PR tabur janji manis-MB


REMBAU – Biarlah PR dengan angan-angannya kerana berapa lama mereka boleh berbohong dengan rakyat.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, pembangkang boleh berkata apa sahaja, tetapi akhirnya nanti rakyat akan tahu juga tembelang mereka.

“Rakyat sekarang ini sudah bijak dan mampu menilai janji manis yang dilemparkan pembangkang.

“Saya yakin rakyat mempunyai pandangan mereka sendiri dan boleh memberi penilaian kerana kita semua kebanyakannya berpelajaran tinggi,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang membayangkan hasrat menawan tiga negeri iaitu Negeri Sembilan, Melaka dan Johor pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).

Mohamad berkata, beliau yakin dengan hanya bekerja kuat sahaja dan menumpukan aspek kesejahteraan rakyat mampu meyakinkan mereka kepada kerajaan yang sedia ada.

“PR kata mahu tawan tiga negeri iaitu Negeri Sembilan, Melaka dan Johor. Itu hanya sekadar kata-kata psiko.

“Terpulang kepada PR kerana kerajaan pun ada strategi tersendiri pada PRU13,” katanya.
 
sumber : sinar

DAP Gadai Maruah Orang Asli untuk kepentingan Politik

KANTOI!!!

DALANG
Dalang DAP dr adun Senawang,Mambau,Bukit Chedang
Apa yang berlaku pagi tadi adalah salah faham pihak orang asli yang telah dihasut oleh pihak pembangkang yang cuba memutar belit kenyataan Menteri Besar Negeri Sembilan pada sidang akhbar pada 21 hb yang lalu
klik sini
DAP hanya dapat melaksanakan niat jahat di 21kampung daripada keseluruhan 68 kampung org asli di N9. DAP terpaksa membawa Orang Asli dari Melaka untuk kepentingan Politik mereka. 

Ini adalah angkara putar belit pembangkang yang ketandusan Isu untuk memburukkan nama baik Menteri Besar N9.
DALANG MENYOROKKAN MUKA KETIKA PERTEMUAN MB BERSAMA ORANG ASLI

Jika mereka benar-benar mewakilli dan tidak didalangi oleh Pembangkang, sudah tentu mereka akan buat bantahan dan menyerahkan memorandum berkenaan kepada Menteri Besar ketika lawatan Menteri Besar di Jelebu pada 10 November yang lalu KLIK SINI

Ketika YAB Dato' Seri Utama Haji Mohamad Haji Hasan turun, suasana terus berubah dari agak keras... terus menjadi MESRA..

Gambar-gambar di bawah tanda bukti jelas menunjukkan sokongan Orang Asli terhadap Kerajaan di bawah kepimpinan YAB Dato' Seri Utama Haji Mohamad Haji Hasan.







Friday, 7 October 2011

Menteri Besar N9 menyifatkan Belanjawan 2012 sebagai komprehensif dan kompetitif



SEREMBAN, 7 Okt. – Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Haji Hasan menyifatkan belanjawan 2012 ‘Dasar Transformasi Nasional : Bajet Membela Rakyat, Mensejahterakan Negara’ yang di bentangkan oleh Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak sebentar tadi sebagai mengagumkan dan bijaksana.

Menurut beliau, belanjawan yang di bentangkan itu merangkumi semua aspek kesejahteraan dan tidak meminggirkan sesetengah pihak ibarat seperti ‘rumah siap pahat berbunyi’ dan ianya bukan belanjawan pilihanraya.

Apa yang di amati dari belanjawan yang diumumkan itu, perdana menteri menyentuh pelbagai transformasi melibatkan sektor pengindustrian, pendidikan modal insan, tarikan pelaburan, perkhidmatan, pelancongan dan kebajikan.

Malahan ianya melibatkan rakyat yang berpendapatan rendah sehingga berpendapatan tinggi dengan pemansuhan cukai sehingga yuran pendidikan anak-anak juga di mansuhkan.

Jendela 9 edisi 80



KANDUNGAN BERITA :-

- PUSAT PENGUMPULAN SINGKIR EKSPLOITASI ORANG TENGAH

- PERTUBUHAN PELADANG LUNAS PEMBAYARAN ZAKAT PERNIAGAAN

- MANFAAT LAMAN SOSIAL MEDIUM SEBAR MAKLUMAT TEPAT SAHIH

Friday, 16 September 2011

Perutusan Hari Kemerdekaan Ke – 54 oleh Menteri Besar Negeri Sembilan

Bismillahirrahmanirrahim,
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Menghadap Ke bawah Duli Yang Maha Mulia, Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Darul Khusus
TUANKU MUHRIZ IBNI ALMARHUM  TUANKU  MUNAWIR

Menghadap Ke bawah Duli Yang Maha Mulia, Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan Darul Khusus
TUANKU  AISHAH  ROHANI  BINTI  ALMARHUM  TENGKU  BESAR MAHMUD

Ampun Tuanku, beribu-ribu ampun, Sembah patik, mohon diampun,
Bagi pihak seluruh barisan kepimpinan, serta rakyat jelata Negeri Sembilan, patik merafak sembah menjunjung kasih di atas sudi perkenan DYMM Tuanku Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Mukhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir dan DYMM Tuanku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Bte Almarhum Tengku Besar Mahmud berangkat mencemar duli ke Majlis Ulangtahun Kemerdekaan Negara kali ke-54 peringkat negeri pada pagi yang bersejarah ini.

Keberangkatan Duli-Duli Yang Maha Mulia Tuanku berdua, bertambah  menyemarakkan lagi semangat, serta mencetus inspirasi kepada patik-patik sekalian, dalam merayakan peristiwa yang begitu penting di dalam sejarah negara kita. Patik beserta rakyat sekalian, sentiasa mendoakan, agar Duli-Duli Yang Maha Mulia Tuanku berdua, akan sentiasa diganjari keberkatan, dilimpahi kekuatan serta dikurniakan kesihatan yang berpanjangan, untuk terus bertakhta di atas pemerintahan negeri yang tercinta ini.

Insyaallah, jalinan akrab antara Duli-Duli Yang Maha Mulia Tuanku berdua, dengan kepimpinan negeri, serta rakyat jelata sekalian, akan memacu kemajuan negeri ini, dengan lebih lancar lagi serta lebih berkesan di bawah naungan payung Tuanku,

Ampun Tuanku, Patik mohon keizinan untuk meneruskan ucapan kepada para tetamu sekalian.

YANG  TERAMAT  MULIA  DATO’  KLANA  PETRA, DATO’  HAJI  MUBARAK  BIN  DOHAK
Undang Luak Sungai Ujong dan Yang Mulia Tok Puan

YANG  TERAMAT  MULIA  DATO’  MENDIKA  MENTERI AKHIRULZAMAN
DATO’  HAJI  MUSA  BIN  WAHAB, Undang Luak Jelebu

YANG  TERAMAT  MULIA  DATO’  JOHAN  PAHLAWAN  LELA  PERKASA SETIAWAN
DATO’  HAJI  MOHD  JAN  BIN  ABDUL  GANI, Undang Luak Johol dan Yang Mulia Tok Puan

YANG  TERAMAT  MULIA  DATO’  LELA  MAHARAJA, DATO’  HAJI  MUHAMAD  SHARIP  BIN  HAJI  OTHMAN; Undang Luak Rembau dan Yang Mulia Tok Puan
YANG TERAMAT  MULIA TUNKU  SYED  RAZMAN  BIN  TUNKU  SYED  IDRUS  AL-QADRI
Tunku Besar Tampin dan Yang Mulia Tunku Isteri

Saya juga amat berbesar hati di atas kehadiran Yang Teramat Mulia Dato’-Dato’ Undang Yang Empat dan Yang Mulia Tok Puan serta Yang Teramat Mulia Tunku Besar Tampin dan Yang Mulia Tunku Isteri ke majlis yang permai ini. Semoga dengan kehadiran Yang Teramat Mulia-Yang Teramat Mulia sekalian, akan dapat memeriahkan lagi Majlis Sambutan Hari Kemerdekaan pada pagi ini. Semoga Allah Subhanahu Wataala akan terus memelihara kesihatan Yang Teramat Mulia Dato’-Dato’ Undang Yang Empat dan Yang Teramat Mulia Tunku Besar Tampin.

YANG  AMAT  MULIA DATO’  SERI  UTAMA  HAJI  BADARUDIN  BIN  HAJI  ABDUL  KHALID,
Dato’ Syahbandar Sungei Ujong

YB  DATO’  RAZAK  BIN  MANSOR, Yang DiPertua Dewan Undangan Negeri dan Y.Bhg. Datin
YB  DATO’  HAJI  MAT  ALI  BIN  HASSAN, Setiausaha Kerajaan Negeri  dan Y.Bhg.Datin
YANG  BERHORMAT Ahli-Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri dan Isteri

YB SOHIBUS SAMAHAH DATO’ HAJI MOHD YUSOF BIN HAJI AHMAD, Mufti Kerajaan Negeri
Yang Berhormat  Ahli-Ahli Dewan Rakyat, Dewan Negara dan Dewan Undangan Negeri
Ketua-Ketua Jabatan Negeri dan Persekutuan

Pemimpin-Pemimpin UMNO, Parti-Parti Komponen Barisan Nasional, MCA, MIC, GERAKAN dan PPP
Yang Berbahagia Tan Sri-Tan Sri, Dato’-Dato’, Datin-Datin, Tuan-Tuan dan Puan-Puan, seterusnya Hadirin dan Hadirat yang saya hormati sekalian.

Di kesempatan ini, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi kesyukuran, ke hadrat Allah SWT, kerana kita semua dapat bersama-sama pada Majlis sambutan Ulangtahun Kemerdekaan Negara kali ke-54 Peringkat Negeri Sembilan pada pagi ini.  

Saya amat berbangga dengan kehadiran tuan-tuan dan puan-puan yang begitu ramai pada pagi ini sebagai bukti kesungguhan kita semua untuk merayakan peristiwa penting dalam sejarah pembentukan tanahair kita ini. Pada tahun ini,  sambutan hari kemerdekaan diadakan serentak dengan Sambutan Hari Malaysia dan di dalam suasana kita masih merayakan Aidilfitri.

Walaupun sambutan hari kemerdekaan tahun ini tidak diadakan pada tanggal 31 Ogos yang lalu, namun semangat perayaan ini tetap sama. Kemeriahan dan signifikan Hari Kebangsaan sentiasa membara dalam jiwa kita semua, baik di kota atau di mana-mana jua pelusuk negara.  Sama ada sebagai peserta, mahupun sebagai tetamu di venue-venue sambutan, jiwa merdeka seharusnya sentiasa berkobar dan membara dalam sanubari kita semua.

Hadirin  yang dihormati sekalian.

Sambutan Hari Kemerdekaan, bukan hanya sekadar untuk menyelami hiasan warna warni, alunan tarian, pukulan gendang atau pun kibaran Jalur Gemilang sahaja. Sebaliknya, ia lebih kepada menerapkan rasa kesyukuran dan keinsafan, agar ia dapat memberi kesan yang mendalam, di sanubari rakyat Malaysia di atas keamanan dan kesejahteraan  yang kita nikmati selama ini. Generasi pasca merdeka terutamanya, harus sentiasa merujuk kepada sejarah kemerdekaan negara, dalam usaha untuk memaju dan membangunkan negara.

Kemerdekaan yang dicapai 54 tahun lalu, adalah terhasil daripada keringat, airmata dan darah pejuang-pejuang tanah air. Maka janganlah hendaknya ada diantara kita yang mudah lupa sejarah. Kenanglah jasa-jasa dan pengorbanan para pejuang-pejuang kemerdekaan. 

Pejuang-pejuang kemerdekaan negara telah banyak berkorban, harta benda dan nyawa, bersatupadu menentang penjajah dan kemudiannya bersetuju pula menubuhkan sebuah negara berbilang kaum, untuk hidup bersama-sama dengan aman dan sejahtera. Maka itu, ingatlah, dalam keghairahan kita mengejar kemajuan pada hari ini, janganlah pulak kita mengganggu gugat keamanan dan keharmonian masyarakat, yang telah diasaskan oleh pejuang-pejuang kemerdekaan negara pada ketika dulu.

Dengan kata lain, kita tidak harus bertindak keluar dari garisan, semata-mata kerana ghairah, ingin memburu perubahan baru, yang kononnya untuk mencari kelainan, sehingga kita lupa dan menafikan pula kejayaan dan keamanan yang sedia ada. Janganlah pula sekali-sekali, kita rela memperjudikan diri, semata-mata kerana terlalu berangan-angan dan asyik memikirkan perubahan dan pembaharuan, yang kononnya akan menjamin membawa kebaikan yang jauh lebih baik, berbanding dengan apa yang sedang kita nikmati sekarang ini.

Janganlah sekali-sekali, kita terikut-ikut rentak dan tarian, pihak-pihak yang cuba mengganggu gugat keamanan negara, dalam usaha untuk mengejar sesuatu, yang belum pasti diperolehi. Jangan nanti ibarat kata orang tua-tua ‘yang di kejar tak dapat, yang dikendong hilang berciciran’. Dek terlalu yakin dengan senario baru dan harapan yang dimomokkan mampu membawa perubahan, kelak nanti kita menjadi ibarat ‘ayam ditambat disambar helang, padi di tangan tumbuh lalang’. Maka itu, marilah kita bersyukur dengan apa yang kita ada, dan dengan apa yang kita nikmati sekarang ini dan marilah berusaha bersama-sama untuk mempertingkatnya lagi, demi masa depan negara yang gemilang.

Hadirin yang dihormati sekalian,

Pada kesempatan ini juga, saya ingin mengingatkan kepada setiap rakyat khususnya di Negeri Sembilan, supaya mempamerkan kematangan diri, selari dengan usia kemerdekaan negara kita, yang sudah menjangkau lebih lima dekad ini. Oleh itu, dalam apajua perlakuan dan tindakan susulan kita, di dalam meniti menuju masa depan, kita haruslah berpijak kepada kewajaran dan di bumi yang nyata. Janganlah kita bertindak mengikut emosi.

Rentetan sejarah negara, sejak berdekad lalu, harus dijadikan pedoman, di dalam kita membentuk dan menentukan halatuju negara. Setiap rakyat negara ini perlu ada tanggungjawab, kerana imej kecemerlangan negara, banyak bergantung kepada kemampuan kita sekalian, di dalam melakar sesuatu yang positif, tanpa bermain dengan isu-isu atau sentimen perkauman yang pesimis dan merbahaya, serta kabur pula matlamatnya.

Sebaliknya, marilah kita bersama-sama untuk terus bekerja lebih keras lagi, demi untuk memperkukuhkan asas yang telah dibina selama ini, dengan mengambilkira sumbangan, serta peranan menyeluruh setiap peringkat masyarakat. Dengan kata lain, setiap kelemahan yang ketara, haruslah diperbaiki, dan yang kurang diatasi. Tolenrasi, dan persefahaman kaum, harus sentiasa diutamakan, supaya ia tidak menjadi batu penghalang kepada kemajuan fasa kedua negara, selepas kita berjaya melewati lima dekad pertama yang amat cemerlang.

Prestasi negara akan dilihat secara lebih dekat dan penuh minat oleh dunia, selepas Malaysia mencapai kegemilangan luar biasa pada tempoh lima puluh tahun pertama dahulu. Oleh itu, dalam usaha meneruskan perjuangan bagi 50 tahun yang mendatang, janganlah prestasi pencapaian negara, yang membanggakan selama ini, merudum secara tiba-tiba, angkara diri kita sendiri, akibat kerapuhan jatidiri, dan perpecahan antara sesama kita.

Ayuh saudara-saudari sekalian, marilah kita menyumbang dan berbakti semaksimum yang mungkin, bagi mengekalkan prestasi terbilang, sekaligus mempertahankan imej, identiti dan maruah negara di mata dunia. Janganlah dicalarkan kedamaian ini, dengan sikap yang suka mementingkan diri sendiri, sehingga lupa yang menjadi mangsanya nanti adalah anak bangsa kita sendiri.

Hadirin yang dihormati sekalian,

 Inilah intipati kepada dasar baru, gagasan baru, yang sedang diperkenalkan oleh negara iaitu Gagasan Satu Malaysia. Ia mengajak kita semua, masyarakat berbilang kaum di negara ini, kembali bersatu, sebagaimana yang telah ditunjukkan oleh generasi terdahulu, semasa negara mula-mula mencapai kemerdekaan.

Marilah kita bersama-sama, sehati dan sejiwa, terus berbakti, membela, dan mempertahankan tanahair yang tercinta ini, yang sesuai dengan tema dan slogan tahun ini, iaitu “Transformasi Berjaya, Rakyat Sejahtera”, Marilah kita bersama-sama laungkan semangat ini, demi melonjakkan kegemilangan negara. Perkara ini penting, kerana kedua-dua pihak, iaitu pemimpin dan masyarakat, memainkan peranan yang penting dalam menerapkan imej penyatuan yang lebih ketara, bagi keseluruhan rakyat di negara ini.

Ketika Kerajaan amat komited memberikan tumpuan yang lebih besar kepada pembelaan kesejahteraan rakyat, masyarakat keseluruhannya pula harus bersikap telus dan ikhlas, dalam merealisasikan impian ini, dengan bersikap positif, terhadap program-program yang boleh mengwujudkan keharmonian bangsa dan negara.

Ingatlah, bahawa tanpa perpaduan dan permuafakatan, antara masyarakat, apa yang kita rancang demi masa depan negara yang cemerlang tidak akan dapat dicapai. Oleh yang demikian, semangat perpaduan dan permuafakatan antara kita, haruslah ditingkatkan, dan pada masa yang sama, kita hendaklah menghindari apa jua tindak tanduk, yang boleh mencetuskan perbalahan.

Sebagai contoh, sengketa agama dan kaum harus dihindari, dan Perlembagaan Negara harus dihormati. Perkara remeh temeh, yang boleh mengheret kepada pertikaian, perlulah dijauhi. Hanya dengan semangat toleransi yang tinggi, antara masyarakat dan kaum ini sahajalah, yang akan membolehkan menjamin negara akan terus bersaing dan disanjung tinggi demi masa depan anak-anak dan generasi yang akan datang.

Hadirin yang dihormati sekalian,

Akhir kata, marilah kita bersama-sama bertekad, untuk terus menyemarakkan semangat juang, bagi memastikan negara Malaysia yang kita cintai ini, terus maju dan rakyatnya hidup dalam keadaan sejahtera dan rukun serta damai. Saya juga ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang mengambil bahagian dalam sambutan kali ini. Kehadiran tuan-tuan dan puan-puan sekalian pada pagi ini amat saya hargai. Semoga segala sumbangan yang murni kita akan diberkati oleh Allah S.W.T. Kepada   seluruh tetamu dan hadirin sekalian, saya akhiri dengan Salam Kemerdekaan, Salam Satu Malaysia dan Salam Aidilfitri.

Ampun Tuanku, beribu-ribu ampun, Sembah patik pohon diampun.

Sekianlah Sembah ucapan patik pada pagi Sempena Sambutan Ulangtahun Kemerdekaan Negara Yang ke-54 ini.

Patik sekali lagi merafak sembah, menjunjung kasih, di atas sudi perkenan Duli Yang Maha Mulia Tuanku dan Duli Yang Maha Mulia Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan berangkat mencemar duli, ke Majlis Sambutan Ulangtahun Kemerdekaan Negara yang ke-54 Peringkat Negeri Sembilan pada pagi ini. Semoga keberangkatan Duli Yang Maha Mulia Tuanku berdua, akan membawa keberkatan dan sekaligus menyemarakkan lagi sinar kemerdekaan di bulan Syawal ini.

Menjunjung kasih Tuanku,
Ampun Tuanku.