Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Showing posts with label suaram. Show all posts
Showing posts with label suaram. Show all posts

Thursday, 7 June 2012

GEMPAR!: Tiada Perbicaraan Tentang Kapal Selam Scorpene di Perancis, Rakyat Ditipu Hidup-hidup Oleh Pembangkang


Isu kapal selam scorpene yang ditimbulkan oleh SUARAM a.k.a pembangkang, telah berlanjutan sejak aduan dibuat mengenainya di mahkamah Perancis pada November 2009.    Secara ringkasnya, SUARAM telah menuduh bahawa syarikat pembuat iaitu DCNS dari Perancis telah membayar rasuah sejumlah EURO114 juta kepada syarikat Perimekar Sdn Bhd dari Malaysia dengan kerjasama seorang model dari Mongolia, Altantuya Sharibuu, yang kemudiannya dibunuh kejam kerana meminta bahagiannya.  

Menurut kenyataan Pengarah SUARAM, Dr. Kua Kia Soong, “SUARAM percaya terdapat sesuatu yang lebih besar di sebalik pembunuhan Altantuya dan ianya ialah persoalan tentang sekurang-kurangnya RM500 million komisen di atas RM7 billion pembelian kapal selam scorpene.”

Secara tidak langsung, namun jelas lagi terang, Dr. Kua menuduh bahawa kerajaan atau Perdana Menteri terlibat dalam rasuah dan juga pembunuhan.   SUARAM juga membuat beberapa kenyataan lanjutan dan berterusan membayangkan bahawa kes ini kini sedang dibicarakan di mahkamah Perancis. 

Malah, SUARAM juga menyeru sumbangan rakyat Malaysia untuk membantu mereka menanggung kos kes ini di mahkamah Perancis.  Untuk itu, SUARAM mengadakan majlis makan malam dengan jualan meja semahal RM10,000 - pastinya, untuk menutup jejak bahawa mereka didalangi dan ditaja oleh sesuatu pihak untuk menipu. 

Tidak dapat dipastikan berapa kerat rakyat Malaysia yang telah menyumbang kepada SUARAM untuk memanjangkan fitnah tersebut.   Kita tidak yakin ada rakyat yang sebegitu bodoh untuk menaja SUARAM ‘makan-angin’ ke Perancis.  

Tetapi, jika ada yang telah menyumbang, inilah disarankan agar mereka mendesak SUARAM disiasat dan diaudit untuk mendapatkan kembali wang mereka.  Ini kerana, sumber-sumber terkini memaklumkan bahawa kes kapal selam scorpene ini, pada hakikatnya tidak pun dibawa ke mahkamah Perancis.   

Mengikut undang-undang Perancis, sistem kehakimannya membolehkan hakim menyiasat atau menyelidik sesuatu kes secara bebas.  Hakim juga boleh menyoal saksi, orang yang disyaki dan mengarahkan siasatan bagi mengumpul fakta dan bukti.  Dimaklumkan juga bahawa dalam kes kontrak penjualan kapal selam yang ditandatangani oleh DCN dengan Pakistan dan Taiwan, keraguan yang berbangkit ialah bahawa rasuah yang berlaku adalah melibatkan DCN dengan parti politik Perancis. 

Hakikatnya, Pejabat Pendakwaraya Paris ada melakukan siasatan berkenaan penjualan kapal selam yang membabitkan DCN dengan negara-negara lain termasuk Malaysia dan tumpuan siasatan mereka adalah antara DCN dengan ahli-ahli atau parti politik Perancis.  Aduan SUARAM telah diambilkira dalam skop siasatan ini. 

Justeru, apa yang digambarkan oleh SUARAM bahawa kerajaan Malaysia telah diheret ke mahkamah Perancis dan Perdana Menteri kita akan disapina adalah bohong sama sekali.  Isu pembelian scorpene oleh Malaysia tidak pernah dibawa ke mahkamah dan segala kenyataan akhbar dan taklimat oleh SUARAM mengenainya adalah berdasarkan penipuan semata-mata. 

Seharusnya, isu rasuah scorpene ini tidak timbul langsung memandangkan penafian dan penjelasan terperinci secara berfakta telah pun dibuat berkali-kali di parlimen.  Selain itu, Dato’ Seri Najib sendiri telah bersumpah sebanyak 4 kali menyatakan tidak mengenali Altantuya dan alibinya serta Datin Seri Rosmah pada waktu kejadian juga amat  kukuh sekali.   Malah, penyebar fitnah tersebut, iaitu Raja Petra Kamaruddin (RPK) juga telah tampil membuat pengakuan bahawa dia hanya mereka-reka cerita. 

Namun, SUARAM tetap tegar untuk memainkan isu yang tidak ada ini seolah-olah begitu terdesak sekali untuk memburukkan kerajaan.  Kita berkata demikian, kerana jika tujuan mereka bukan untuk memburukkan kerajaan, mereka sewajarnya tidak berbuat bising dan menunggu sahaja perbicaraan selesai.  

Bagaimanapun kini kita faham masalah SUARAM yang tidak boleh duduk diam, iaitu kerana kes tersebut tidak dibicarakan pun! 

Tujuan SUARAM menipu tidak sukar untuk dibaca kerana SUARAM dan pembangkang merupakan satu entiti yang sama.   Memandangkan jangkahayat pembangkang hanya bergantung kepada kehebatan mereka menipu maka mereka melihat tiada salahnya mengambil risiko jika penipuan mereka dikantoikan dalam isu scorpene ini, kerana yakin penyokong-penyokong tegar mereka tetap akan percaya apa saja - sekurang-kurangnya sehingga pilihanraya selesai.  

Dengan pilihanraya semakin hampir, scorpene adalah satu-satunya isu yang mampu digunakan untuk terus mengelirukan pengundi agar meragui kepimpinan Dato’ Seri Najib. 


Wednesday, 6 June 2012

Scorpene: SUARAM DITAJA ANWAR


SUARAM, sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang ditubuhkan oleh keluarga bekas banduan ISA iaitu pesalah yang mengancam keselamatan negara, sering menggambarkan pertubuhan itu sebagai telus, bebas dan berjuang demi hak asasi manusia dan keadilan.   Ia ditubuhkan pada 5 Ogos 1989 selepas Operasi Lalang dengan perjuangan utamanya adalah untuk menghapuskan ISA yang bagi mereka menafikan hak seseorang untuk dibicarakan. 

Namun, bagi rakyat Malaysia yang rasional dan bijak menganalisis maklumat, SUARAM adalah pertubuhan yang berjuang untuk memastikan negara sentiasa terdedah kepada bahaya dengan memberikan hak, masa dan ruang kepada penjenayah atau pengganas untuk beroperasi.

Bagi rakyat Malaysia juga, SUARAM hanyalah salah satu dari berbagai-bagai bentuk penyamaran pembangkang, atau lebih spesifik PKR dan DAP dalam usaha mereka untuk menjatuhkan kerajaan.   SUARAM sama sekali tidak bebas, tidak telus dan tidak memperjuangkan keadilan mahupun hak sesiapa. 

SUARAM hanya memperjuangkan politik pembangkang yang bermatlamatkan negara republik, pemikiran liberal dan menghapuskan bukan sahaja hak dan kedudukan istimewa, tetapi segala-galanya yang berakar dan bertiangkan agama Islam dan budaya Melayu. 

Warna sebenar SUARAM terserlah dengan jelas sekali apabila NGO ini begitu beria-ia menjuarai isu kapal selam scorpene yang kononnya dibicarakan di mahkamah Perancis.  

Ia bermula dengan SUARAM membuat aduan di mahkamah Perancis berhubung DCN, iaitu syarikat pembuat kapal selam negara itu kerana kononnya membayar sejumlah rasuah kepada syarikat Perimekar Sdn Bhd dari Malaysia.   Aduan ini diperbesarkan dengan pembohongan bahawa Perdana Menteri dan isteri terlibat dalam pembunuhan Altantuya yang didakwa sebagai penterjemah dalam urusan jualbeli scorpene.  Altantuya dikatakan dibunuh kerana meminta sebahagian dari rasuah terbabit.   Lanjutan itu, SUARAM juga memainkan cerita kononnnya PM akan akan disapina oleh mahkamah Perancis.  

Semua ‘butir-butir’ kes disebarkan oleh SUARAM melalui siri-siri sidang akhbar, antaranya pada 3 Mei dan 26 Mei baru-baru ini. 

Walaubagaimanapun, perlu diingatkan bahawa sehingga hari ini, maklumat mengenai kes hanya didapati dari kenyataan atau ‘air-liur’ SUARAM dan para peguam mereka tanpa memberikan apa-apa bukti langsung.  

Air liur SUARAM itulah yang diambil oleh para blogger dan pemimpin pembangkang sebagai bukti sahih hatta seolah-olah keputusan penghakiman, dan kemudiannya disebarkan sebagai ‘makanan minda’ kepada rakyat Malaysia. 

Kerajaan telah bertindak bijak dengan tidak melatah dalam kes ini.  Sebaliknya PM membuat penafian secara tenang, bersumpah secara Islam dan memberi penjelasan secara baik di dalam Dewan Rakyat.   Langkah yang berhati-hati diambil agar tidak mengganggu proses mahkamah yang dikatakan oleh SUARAM sebagai sedang berjalan di Perancis.  Hanya SUARAM yang tidak sabar-sabar menunggu keputusan mahkamah dan ke sana ke mari menghebahkan membuat berbagai-bagai kenyataan. 

Kesungguhan SUARAM mendahului mahkamah dalam isu ini tidak sukar untuk difahami.   Memandangkan SUARAM adalah pembangkang dan pembangkang adalah SUARAM, maka sudah pastilah pilihanraya yang semakin hampir menjadi punca isu ini dimainkan dengan bersungguh-sungguh oleh mereka akhir-akhir ini. 

Bukti bahawa SUARAM adalah pembangkang tidak sukar untuk dikemukakan.  Lihat sahaja senarai nama orang-orang penting NGO tersebut, dan kita akan mendapati bahawa mereka adalah juga orang-orang penting di dalam pakatan pembangkang Malaysia.  Antaranya: 

1.      Cynthia Gabriel, Pengarah SUARAM dan juga ‘key-person’ dalam pembohongan isu scorpene.  Beliau juga adalah Ahli Majlis Daerah Petaling Jaya, dilantik oleh kerajaan PKR negeri Selangor.

2.      Dr. Kua Kia Soong adalah bekas Ahli Parlimen DAP

3.      Sivarasa Rasiah adalah Ahli Parlimen PKR, Subang, Petaling

4.      Irene Fernandez adalah Ahli Majlis Tertinggi PKR.

5.      Dr. Syed Husin Ali adalah bekas Timbalan Presiden PKR.

6.      Tian Chua adalah Ahli Parlimen PKR, Batu.

7.      S.Arutchelvan, Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia

8.      Dr. Nasir Hashim, Presiden Parti Sosialis Malaysia

9.      Elizabeth Wong, bekas ko-ordinator SUARAM dan sekarang adalah ADUN PKR di Selangor

10.  Premesh Chandran bekerja dengan Malaysiakini dan rakan karib Tian Chua.  Kedua-dua mereka adalah ahli Network of Overseas Collective of Australia bersama dengan Elizabeth Wong.

Kesimpulannya, SUARAM tiada bukti penglibatan Perdana Menteri dalam pembunuhan Altantuya.  SUARAM juga tidak bukti bahawa rasuah telah berlaku dalam pembelian scorpene. 

Tetapi, kita ada bukti bahawa SUARAM bukan bertindak sebagai badan bebas dan telus kerana SUARAM adalah jelmaan pembangkang yang matlamatnya hanyalah untuk memburukkan dan menjatuhkan kerajaan.   Justeru, tidak hairanlah SUARAM tidak langsung teragak-agak untuk menipu, memutarbelit malah mereka-reka cerita mengenai rasuah hinggalah pembunuhan, semata-mata untuk mencapai matlamat mereka. 

Tuesday, 5 June 2012

Kapal Selam Scorpene: Siapa Biaya SUARAM Untuk Menipu?


Pembelian aset tentera tidak pernah lagi dipolitikkan sebegini rupa sepertimana yang dilakukan oleh SUARAM terhadap kapal selam Scorpene.  Kes kapal selam ini ‘timbul’ lagi di Bangkok baru-baru ini bila SUARAM membuat sidang media untuk memberi taklimat tentang perkembangan siasatan oleh pihak berkuasa di Perancis.  Mengakui bahawa ia berbunyi seperti filem aksi risikan Hollywood, SUARAM terus mendahului mahkamah menuduh kerajaan korup dan Perdana Menteri sebagai pembunuh!

Menurut hakim, siasatan ini tidak akan selesai dalam masa 2-3 tahun.  Jadi, kenapakah SUARAM tidak boleh duduk diam sementara menunggu keputusan?  Kenapa mesti ada kenyataan akhbar?  Kenapa perlukan publisiti?  Kenapa sekarang?

Bercakap mengenai kes ini, seseorang itu harus mempunyai sedikit pengetahuan mengenai latarbelakang SUARAM.  Dengan Pilihanraya Umum semakin hampir, motif SUARAM ‘membangkitkan orang mati’ adalah jelas. 

SUARAM adalah NGO yang amat kritikal terhadap kerajaan.  Ini kita faham kerana ia ditubuhkan oleh keluarga bekas tahanan ISA.  Dalam ertikata lain, ia ditubuhkan berasaskan dendam kesumat serta hidup atas keinginan untuk membalas dendam terhadap kerajaan.  Dan bekerjasama dengan pembangkang adalah cara terbaik untuk melakukannya. 

Sebagai sebuah organisasi yang bertanggungjawab, tanpa agenda jahat atau tersembunyi, seharusnya SUARAM membiarkan saja kes ini berlangsung dengan ‘aman’ di mahkamah. 

Tetapi SUARAM tidak boleh duduk diam.  Mereka perlu merosakkan imej kerajaan dan mencemarkan nama baik Perdana Menteri untuk membantu pembangkang mendapat sedikit keuntungan politik sehingga pilihanraya.  Jika penipuan mereka terdedah selepas pilihanraya, biarkanlah. Tetapi buat masa ini, SUARAM berazam untuk terus menipu kononnya PM dan isteri telah membunuh Altantuya, seorang model dari Mongolia yang didakwa sebagai seorang penterjemah dan dibunuh atas alasan meminta bahagiannya dalam komisen pembelian kapal selam Scorpene. 

Tetapi penipuan mereka telah pun terdedah.  Skrip asal filem risikan Hollywood telah dimusnahkan oleh penulisnya sendiri iaitu Raja Petra Kamaruddin (RPK).  Di dalam satu wawancara, RPK telah mendedahkan bagaimana dia mereka-reka keseluruhan cerita berkenaan ‘dengar cakap’ setelah diarahkan oleh orang-orang tertentu dalam pembangkang. 

Skrip ini juga terlalu dramatik sehingga tidak selari dengan fakta.  Fakta kekal merekodkan bahawa pada masa kejadian, PM sedang menghadiri program berbuka puasa di Kedah dan isterinya, Datin Seri Rosmah menghadiri program yang sama bersama anak-anak yatim di Bangunan Tabung Haji, Kuala Lumpur.  Terdapat video, gambar dan juga alibi yang mengesahkan bahawa Datin Seri Rosmah tidak berada di tempat kejadian sepertimana yang ditulis dalam skrip asal RPK.

PM tidak mengenali Altantuya, dan itu juga adalah fakta.  Gambar superimpose lemah yang disebarkan oleh Tian Chua, Naib Presiden PKR yang menunjukkan mereka bersama adalah dengan sendirinya bukti bahawa pembangkang adalah penipu.  Bagi menegaskan bahawa beliau tidak mengenali wanita itu, PM lebih dari bersedia untuk bersumpah atas nama Allah mengikut hukum Islam, dan beliau melakukannya bukan sekali, tetapi 4 kali.  Tiada seorang Islam yang waras yang berani bersumpah atas nama Allah jika mereka benar-benar bersalah.

Mahkamah Malaysia bukan sahaja tidak dapat menjumpai apa-apa untuk mengaitkan PM atau isteri dengan pembunuhan itu tetapi juga tidak menyebut langsung mengenai komisen atau kewujudan seorang penterjemah dalam perbicaraan.  Ini kerana, Altantuya bukan seorang penterjemah dan tiada penterjemah diperlukan dalam transaksi Scorpene memandangkan semua perbualan dan dokumentasi dilakukan dalam bahasa Inggeris. 

Justeru, melihat dari semua ini, tidak syak lagi bahawa Scorpene dan nyawa Altantuya hanyalah permainan politik bagi pembangkang…dan juga SUARAM.

SUARAM menyatakan bahawa mereka telah mendapat capaian penuh kepada 153 kertas siasatan dari pejabat pendakwaraya dan kini memberi taklimat secara terpilih dari senarai tersebut.  Jelas bahawa SUARAM cuba membayangkan pertubuhannya sebagai bebas dan punya kuasa untuk menentukan keadilan.  Di mana, dalam kes ini, SUARAM hanyalah plaintif atau pengadu yang tiada hak untuk membuat keputusan sama ada korupsi berlaku atau tidak, apa lagi mengaitkannya dengan pembunuhan.

Walaubagaimanapun, SUARAM mengakui bahawa mereka tidak dapat membawa keluar bukti dari Perancis dan taklimat tersebut adalah berdasarkan kata-kata mereka semata-mata. 

Kita telah mendengar kata-kata SUARAM dan semakin banyak kita dengar, semakin pelik bunyinya.  Bagaimana kita memegang kata-kata keluarga orang-orang yang ditangkap di bawah ISA – iaitu orang-orang yang berpotensi membahayakan keselamatan negara?  Bagaimana kita hendak memegang kata-kata manusia yang penuh dengan dendam kesumat?  Bagaimana kita HENDAK memegang kata-kata mereka yang telah terbukti menipu rakyat Malaysia?

Dalam menghalusi motif SUARAM, kita harus bersetuju bahawa dendam sahaja tidak akan menjana wang.  Jadi, di mana agaknya SUARAM mendapat wang untuk mengupah peguam Perancis yang mahal, antaranya, Joseph Breham dan William Bourdon untuk mewakili mereka?.  Apakah mereka dibayar mengikut jam sepertimana kebanyakan peguam barat dan Eropah?  Ambil maklum bahawa peguam-peguam ini dibawa ke Malaysia dan Bangkok untuk tujuan publisiti.  Dan berapa ramai pula pegawai SUARAM di Perancis yang memantau kes ini? dan untuk berapa lama?  Siapakah yang menanggung kos penginapan, pengangkutan, perjalanan, makan-minum, dokumentasi dan segala-galanya?...dan berapakah jumlahnya?

Kita tahu bahawa SUARAM adalah sebuah pertubuhan yang kecil, hampir tidak dikenali langsung di kalangan rakyat biasa di Malaysia.  Bagaimana mereka mampu membiayai semua ini? 

Penulis percaya, ramai yang akan bersetuju bahawa nampaknya SUARAMlah yang perlu disiasat dan dibicarakan oleh rakyat yang inginkan kebenaran, bukannya kerajaan.