Bismillahirrahmanirrahim,
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Menghadap Ke bawah Duli Yang Maha Mulia, Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Darul Khusus
TUANKU MUHRIZ IBNI ALMARHUM TUANKU MUNAWIR
Menghadap Ke bawah Duli Yang Maha Mulia, Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan Darul Khusus
TUANKU AISHAH ROHANI BINTI ALMARHUM TENGKU BESAR MAHMUD
Ampun Tuanku, beribu-ribu ampun, Sembah patik, mohon diampun,
Bagi pihak seluruh barisan kepimpinan, serta rakyat jelata Negeri Sembilan, patik merafak sembah menjunjung kasih di atas sudi perkenan DYMM Tuanku Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Mukhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir dan DYMM Tuanku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Bte Almarhum Tengku Besar Mahmud berangkat mencemar duli ke Majlis Ulangtahun Kemerdekaan Negara kali ke-54 peringkat negeri pada pagi yang bersejarah ini.
Keberangkatan Duli-Duli Yang Maha Mulia Tuanku berdua, bertambah menyemarakkan lagi semangat, serta mencetus inspirasi kepada patik-patik sekalian, dalam merayakan peristiwa yang begitu penting di dalam sejarah negara kita. Patik beserta rakyat sekalian, sentiasa mendoakan, agar Duli-Duli Yang Maha Mulia Tuanku berdua, akan sentiasa diganjari keberkatan, dilimpahi kekuatan serta dikurniakan kesihatan yang berpanjangan, untuk terus bertakhta di atas pemerintahan negeri yang tercinta ini.
Insyaallah, jalinan akrab antara Duli-Duli Yang Maha Mulia Tuanku berdua, dengan kepimpinan negeri, serta rakyat jelata sekalian, akan memacu kemajuan negeri ini, dengan lebih lancar lagi serta lebih berkesan di bawah naungan payung Tuanku,
Ampun Tuanku, Patik mohon keizinan untuk meneruskan ucapan kepada para tetamu sekalian.
YANG TERAMAT MULIA DATO’ KLANA PETRA, DATO’ HAJI MUBARAK BIN DOHAK
Undang Luak Sungai Ujong dan Yang Mulia Tok Puan
YANG TERAMAT MULIA DATO’ MENDIKA MENTERI AKHIRULZAMAN
DATO’ HAJI MUSA BIN WAHAB, Undang Luak Jelebu
YANG TERAMAT MULIA DATO’ JOHAN PAHLAWAN LELA PERKASA SETIAWAN
DATO’ HAJI MOHD JAN BIN ABDUL GANI, Undang Luak Johol dan Yang Mulia Tok Puan
YANG TERAMAT MULIA DATO’ LELA MAHARAJA, DATO’ HAJI MUHAMAD SHARIP BIN HAJI OTHMAN; Undang Luak Rembau dan Yang Mulia Tok Puan
YANG TERAMAT MULIA TUNKU SYED RAZMAN BIN TUNKU SYED IDRUS AL-QADRI
Tunku Besar Tampin dan Yang Mulia Tunku Isteri
Saya juga amat berbesar hati di atas kehadiran Yang Teramat Mulia Dato’-Dato’ Undang Yang Empat dan Yang Mulia Tok Puan serta Yang Teramat Mulia Tunku Besar Tampin dan Yang Mulia Tunku Isteri ke majlis yang permai ini. Semoga dengan kehadiran Yang Teramat Mulia-Yang Teramat Mulia sekalian, akan dapat memeriahkan lagi Majlis Sambutan Hari Kemerdekaan pada pagi ini. Semoga Allah Subhanahu Wataala akan terus memelihara kesihatan Yang Teramat Mulia Dato’-Dato’ Undang Yang Empat dan Yang Teramat Mulia Tunku Besar Tampin.
YANG AMAT MULIA DATO’ SERI UTAMA HAJI BADARUDIN BIN HAJI ABDUL KHALID,
Dato’ Syahbandar Sungei Ujong
YB DATO’ RAZAK BIN MANSOR, Yang DiPertua Dewan Undangan Negeri dan Y.Bhg. Datin
YB DATO’ HAJI MAT ALI BIN HASSAN, Setiausaha Kerajaan Negeri dan Y.Bhg.Datin
YANG BERHORMAT Ahli-Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri dan Isteri
YB SOHIBUS SAMAHAH DATO’ HAJI MOHD YUSOF BIN HAJI AHMAD, Mufti Kerajaan Negeri
Yang Berhormat Ahli-Ahli Dewan Rakyat, Dewan Negara dan Dewan Undangan Negeri
Ketua-Ketua Jabatan Negeri dan Persekutuan
Pemimpin-Pemimpin UMNO, Parti-Parti Komponen Barisan Nasional, MCA, MIC, GERAKAN dan PPP
Yang Berbahagia Tan Sri-Tan Sri, Dato’-Dato’, Datin-Datin, Tuan-Tuan dan Puan-Puan, seterusnya Hadirin dan Hadirat yang saya hormati sekalian.
Di kesempatan ini, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi kesyukuran, ke hadrat Allah SWT, kerana kita semua dapat bersama-sama pada Majlis sambutan Ulangtahun Kemerdekaan Negara kali ke-54 Peringkat Negeri Sembilan pada pagi ini.
Saya amat berbangga dengan kehadiran tuan-tuan dan puan-puan yang begitu ramai pada pagi ini sebagai bukti kesungguhan kita semua untuk merayakan peristiwa penting dalam sejarah pembentukan tanahair kita ini. Pada tahun ini, sambutan hari kemerdekaan diadakan serentak dengan Sambutan Hari Malaysia dan di dalam suasana kita masih merayakan Aidilfitri.
Walaupun sambutan hari kemerdekaan tahun ini tidak diadakan pada tanggal 31 Ogos yang lalu, namun semangat perayaan ini tetap sama. Kemeriahan dan signifikan Hari Kebangsaan sentiasa membara dalam jiwa kita semua, baik di kota atau di mana-mana jua pelusuk negara. Sama ada sebagai peserta, mahupun sebagai tetamu di venue-venue sambutan, jiwa merdeka seharusnya sentiasa berkobar dan membara dalam sanubari kita semua.
Hadirin yang dihormati sekalian.
Sambutan Hari Kemerdekaan, bukan hanya sekadar untuk menyelami hiasan warna warni, alunan tarian, pukulan gendang atau pun kibaran Jalur Gemilang sahaja. Sebaliknya, ia lebih kepada menerapkan rasa kesyukuran dan keinsafan, agar ia dapat memberi kesan yang mendalam, di sanubari rakyat Malaysia di atas keamanan dan kesejahteraan yang kita nikmati selama ini. Generasi pasca merdeka terutamanya, harus sentiasa merujuk kepada sejarah kemerdekaan negara, dalam usaha untuk memaju dan membangunkan negara.
Kemerdekaan yang dicapai 54 tahun lalu, adalah terhasil daripada keringat, airmata dan darah pejuang-pejuang tanah air. Maka janganlah hendaknya ada diantara kita yang mudah lupa sejarah. Kenanglah jasa-jasa dan pengorbanan para pejuang-pejuang kemerdekaan.
Pejuang-pejuang kemerdekaan negara telah banyak berkorban, harta benda dan nyawa, bersatupadu menentang penjajah dan kemudiannya bersetuju pula menubuhkan sebuah negara berbilang kaum, untuk hidup bersama-sama dengan aman dan sejahtera. Maka itu, ingatlah, dalam keghairahan kita mengejar kemajuan pada hari ini, janganlah pulak kita mengganggu gugat keamanan dan keharmonian masyarakat, yang telah diasaskan oleh pejuang-pejuang kemerdekaan negara pada ketika dulu.
Dengan kata lain, kita tidak harus bertindak keluar dari garisan, semata-mata kerana ghairah, ingin memburu perubahan baru, yang kononnya untuk mencari kelainan, sehingga kita lupa dan menafikan pula kejayaan dan keamanan yang sedia ada. Janganlah pula sekali-sekali, kita rela memperjudikan diri, semata-mata kerana terlalu berangan-angan dan asyik memikirkan perubahan dan pembaharuan, yang kononnya akan menjamin membawa kebaikan yang jauh lebih baik, berbanding dengan apa yang sedang kita nikmati sekarang ini.
Janganlah sekali-sekali, kita terikut-ikut rentak dan tarian, pihak-pihak yang cuba mengganggu gugat keamanan negara, dalam usaha untuk mengejar sesuatu, yang belum pasti diperolehi. Jangan nanti ibarat kata orang tua-tua ‘yang di kejar tak dapat, yang dikendong hilang berciciran’. Dek terlalu yakin dengan senario baru dan harapan yang dimomokkan mampu membawa perubahan, kelak nanti kita menjadi ibarat ‘ayam ditambat disambar helang, padi di tangan tumbuh lalang’. Maka itu, marilah kita bersyukur dengan apa yang kita ada, dan dengan apa yang kita nikmati sekarang ini dan marilah berusaha bersama-sama untuk mempertingkatnya lagi, demi masa depan negara yang gemilang.
Hadirin yang dihormati sekalian,
Pada kesempatan ini juga, saya ingin mengingatkan kepada setiap rakyat khususnya di Negeri Sembilan, supaya mempamerkan kematangan diri, selari dengan usia kemerdekaan negara kita, yang sudah menjangkau lebih lima dekad ini. Oleh itu, dalam apajua perlakuan dan tindakan susulan kita, di dalam meniti menuju masa depan, kita haruslah berpijak kepada kewajaran dan di bumi yang nyata. Janganlah kita bertindak mengikut emosi.
Rentetan sejarah negara, sejak berdekad lalu, harus dijadikan pedoman, di dalam kita membentuk dan menentukan halatuju negara. Setiap rakyat negara ini perlu ada tanggungjawab, kerana imej kecemerlangan negara, banyak bergantung kepada kemampuan kita sekalian, di dalam melakar sesuatu yang positif, tanpa bermain dengan isu-isu atau sentimen perkauman yang pesimis dan merbahaya, serta kabur pula matlamatnya.
Sebaliknya, marilah kita bersama-sama untuk terus bekerja lebih keras lagi, demi untuk memperkukuhkan asas yang telah dibina selama ini, dengan mengambilkira sumbangan, serta peranan menyeluruh setiap peringkat masyarakat. Dengan kata lain, setiap kelemahan yang ketara, haruslah diperbaiki, dan yang kurang diatasi. Tolenrasi, dan persefahaman kaum, harus sentiasa diutamakan, supaya ia tidak menjadi batu penghalang kepada kemajuan fasa kedua negara, selepas kita berjaya melewati lima dekad pertama yang amat cemerlang.
Prestasi negara akan dilihat secara lebih dekat dan penuh minat oleh dunia, selepas Malaysia mencapai kegemilangan luar biasa pada tempoh lima puluh tahun pertama dahulu. Oleh itu, dalam usaha meneruskan perjuangan bagi 50 tahun yang mendatang, janganlah prestasi pencapaian negara, yang membanggakan selama ini, merudum secara tiba-tiba, angkara diri kita sendiri, akibat kerapuhan jatidiri, dan perpecahan antara sesama kita.
Ayuh saudara-saudari sekalian, marilah kita menyumbang dan berbakti semaksimum yang mungkin, bagi mengekalkan prestasi terbilang, sekaligus mempertahankan imej, identiti dan maruah negara di mata dunia. Janganlah dicalarkan kedamaian ini, dengan sikap yang suka mementingkan diri sendiri, sehingga lupa yang menjadi mangsanya nanti adalah anak bangsa kita sendiri.
Hadirin yang dihormati sekalian,
Inilah intipati kepada dasar baru, gagasan baru, yang sedang diperkenalkan oleh negara iaitu Gagasan Satu Malaysia . Ia mengajak kita semua, masyarakat berbilang kaum di negara ini, kembali bersatu, sebagaimana yang telah ditunjukkan oleh generasi terdahulu, semasa negara mula-mula mencapai kemerdekaan.
Marilah kita bersama-sama, sehati dan sejiwa, terus berbakti, membela, dan mempertahankan tanahair yang tercinta ini, yang sesuai dengan tema dan slogan tahun ini, iaitu “Transformasi Berjaya, Rakyat Sejahtera”, Marilah kita bersama-sama laungkan semangat ini, demi melonjakkan kegemilangan negara. Perkara ini penting, kerana kedua-dua pihak, iaitu pemimpin dan masyarakat, memainkan peranan yang penting dalam menerapkan imej penyatuan yang lebih ketara, bagi keseluruhan rakyat di negara ini.
Ketika Kerajaan amat komited memberikan tumpuan yang lebih besar kepada pembelaan kesejahteraan rakyat, masyarakat keseluruhannya pula harus bersikap telus dan ikhlas, dalam merealisasikan impian ini, dengan bersikap positif, terhadap program-program yang boleh mengwujudkan keharmonian bangsa dan negara.
Ingatlah, bahawa tanpa perpaduan dan permuafakatan, antara masyarakat, apa yang kita rancang demi masa depan negara yang cemerlang tidak akan dapat dicapai. Oleh yang demikian, semangat perpaduan dan permuafakatan antara kita, haruslah ditingkatkan, dan pada masa yang sama, kita hendaklah menghindari apa jua tindak tanduk, yang boleh mencetuskan perbalahan.
Sebagai contoh, sengketa agama dan kaum harus dihindari, dan Perlembagaan Negara harus dihormati. Perkara remeh temeh, yang boleh mengheret kepada pertikaian, perlulah dijauhi. Hanya dengan semangat toleransi yang tinggi, antara masyarakat dan kaum ini sahajalah, yang akan membolehkan menjamin negara akan terus bersaing dan disanjung tinggi demi masa depan anak-anak dan generasi yang akan datang.
Hadirin yang dihormati sekalian,
Akhir kata, marilah kita bersama-sama bertekad, untuk terus menyemarakkan semangat juang, bagi memastikan negara Malaysia yang kita cintai ini, terus maju dan rakyatnya hidup dalam keadaan sejahtera dan rukun serta damai. Saya juga ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang mengambil bahagian dalam sambutan kali ini. Kehadiran tuan-tuan dan puan-puan sekalian pada pagi ini amat saya hargai. Semoga segala sumbangan yang murni kita akan diberkati oleh Allah S.W.T. Kepada seluruh tetamu dan hadirin sekalian, saya akhiri dengan Salam Kemerdekaan, Salam Satu Malaysia dan Salam Aidilfitri.
Ampun Tuanku, beribu-ribu ampun, Sembah patik pohon diampun.
Sekianlah Sembah ucapan patik pada pagi Sempena Sambutan Ulangtahun Kemerdekaan Negara Yang ke-54 ini.
Patik sekali lagi merafak sembah, menjunjung kasih, di atas sudi perkenan Duli Yang Maha Mulia Tuanku dan Duli Yang Maha Mulia Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan berangkat mencemar duli, ke Majlis Sambutan Ulangtahun Kemerdekaan Negara yang ke-54 Peringkat Negeri Sembilan pada pagi ini. Semoga keberangkatan Duli Yang Maha Mulia Tuanku berdua, akan membawa keberkatan dan sekaligus menyemarakkan lagi sinar kemerdekaan di bulan Syawal ini.
Menjunjung kasih Tuanku,
Ampun Tuanku.
No comments:
Post a Comment