Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Wednesday 18 January 2012

Wanita ditemui mati di Tmn Desa Melati, Nilai

SEREMBAN 18 Jan. - Mayat seorang wanita ditemui dalam keadaan berlumuran darah oleh seorang lelaki ketika sedang bersenam di sebuah taman permainan di Taman Desa Melati, Nilai dekat sini pagi ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 7 pagi, lelaki tersebut yang pada mulanya menyangka wanita berkenaan pengsan di bawah sebatang pokok di taman berkenaan, terkejut apabila menyedari wanita itu sebenarnya telah meninggal dunia.

Dia kemudian membuat laporan polis selepas mendapati terdapat kesan tikaman pada leher mangsa.
Ketua Polis Daerah Nilai, Supritendan Mohd. Yusoff Awang berkata, siasatan polis mendapati, mangsa ialah Raftah Abdul Samad, 51, berasal dari Kampung Pasir Putih, Labu dekat sini.

"Siasatan awal mendapati mangsa yang belum berkahwin mati kira-kira enam jam sebelum mayatnya ditemui lelaki berkenaan.

"Terdapat kesan tikaman pada leher mangsa di percayai ditikam senjata tajam," katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai hari ini.

Mohd. Yusoff berkata, polis turut menemui kereta jenis Proton Saga milik mangsa yang diletakkan kira-kira 50 meter dari lokasi mayatnya ditemui.

"Ketika dijumpai, mangsa memakai seluar jean, baju dan bertudung. Kita juga menemui telefon bimbit dan kunci kereta di dalam poket seluarnya.

"Polis menolak kemungkinan mangsa dirompak sebelum dibunuh kerana semua dokumen termasuk beg duit juga dijumpai dalam kereta mangsa," jelasnya.

Menurut Mohd. Yusoff lagi, seorang kakak mangsa memberitahu bahawa mangsa bekerja di sebuah hotel di Port Dickson dan tidak mengetahui di mana wanita berkenaan menetap.

Kali terakhir kakak mangsa menemuinya adalah petang kelmarin di rumah kakaknya itu di Labu, katanya.
Tambah beliau, polis sedang mengenal pasti suspek yang terlibat dalam pembunuhan itu dan mengapa mangsa berada di kawasan perumahan berkenaan.

"Mayat mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Ja'afar untuk bedah siasat dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh," katanya.

No comments:

Post a Comment