Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Tuesday 24 January 2012

Bersihkan NFCorp dari tuduhan tidak berasas pembangkang-Wan Shahinu Izmir Salleh

Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFCorp) menegaskan bahawa langkah kerajaan melantik firma audit akan membantu membersihkan pihaknya daripada siri tuduhan tidak berasas dan membetulkan persepsi orang ramai berkenaan projek ternakan daging lembu yang muncul kontroversi ekoran Laporan Ketua Audit Negara 2010.

Dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini, NFCorp berkata, langkah kerajaan, yang diumumkan lebih seminggu lalu, akan membantu mengatasi kritikan-kritikan memandangkan penemuan juruadit bebas bebas akan mengetengahkan fakta sebenar berkenaan projek itu, yang dilaporkan menerima dana RM250 juta daripada kerajaan.

Langkah ini katanya diharap dapat menghapuskan syak orang ramai dan kritikan yang dihadapi NFC selama ini.

“Diharap dengan penglibatan syarikat itu dapat membetulkan salah tanggapan dan memulihkan kredibiliti syarikat daripada tuduhan-tuduhan oleh individu yang tidak bertanggungjawab,” katanya.

Baru-baru ini, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan berhasrat melantik sebuah firma perunding perakaunan untuk menjalankan satu penelitian wajar dan audit projek Perbadanan Fidlot Kebangsaan (NFC).

Katanya, bagi melindungi kepentingan kerajaan, firma perunding itu akan membuat penelitian dan audit projek dari segi penggunaan dana pinjaman, pengurusan dan kewangan projek tersebut.

“Tugasan ini dijangka akan dimuktamadkan dalam tempoh sebulan,” katanya.

Menurut Muhyiddin, NFCorp iaitu satu syarikat usahasama di antara Agroscience Industries Sdn Bhd dengan kerajaan telah diberi mandat sebagai integrator projek NFC.

Berikutan daripada itu, kerajaan memberi pinjaman mudah sebanyak RM250 juta kepada syarikat berkenaan bagi melaksanakan projek tersebut dan setakat ini sejumlah RM181 juta telah dikeluarkan.

Isu NFC timbul apabila Laporan Ketua Audit Negara 2010 pada Oktober lalu menyatakan perbadanan itu gagal memenuhi matlamat penubuhannya.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini, NFCorp juga berkata, pihaknya tidak akan membuat sebarang kenyataan sehingga pihak polis selesai membuat siasatan.

Pengarah Eksekutifnya, Wan Shahinu Izmir Salleh berkata, pihaknya mengambil pendirian itu bagi menghormati tugas pihak berkuasa menjalankan siasatan berhubung kontroversi yang timbul baru-baru ini.
Menurut Wan Shahinu Izmir berkata, beberapa laporan, penyata, buku-buku dan dokumen-dokumen NFCopr telah diserahkan kepada pihak polis bagi membantu siasatan.

"NFCorp telah memberi kerjasama menyeluruh dan sedang menantikan keputusan siasatan,” katanya yang dipetik dari kenyataan jurucakap mereka.

Menurut Izmir, sebelum ini perkataan 'kepincangan' digunakan dan diputarbelitkan  oleh pihak-pihak tertentu untuk mewujudkan kekeliruan persepsi serta menjejaskan perkembangan NFCorp.

“Sedangkan dalam laporan Ketua Audit Negara tidak ada langsung dinyatakan perkataan itu.

“Laporan itu juga boleh didapati secara percuma daripada laman web Jabatan Audit Negara di www.audit.gov.my dan orang ramai boleh membacanya sendiri untuk membuat penilaian,” katanya.

Tambah beliau, hal ini jelas menunjukkan bahawa tuduhan yang mengatakan bahawa ‘keadaan kucar kacir’ yang dilemparkan itu adalah tidak benar sama sekali.

Ahad lalu, satu sesi dialog di antara NFCorp dan 12 badan-badan bukan kerajaan (NGO) yang mewakili beribu-ribu ahli-ahli hadir bagi memberikan penjelasan kepada NGO yang terlibat tentang gambaran sebenar operasi NFCorp serta penyelesaian terhadap kebimbangan yang dibangkitkan.

Pada sesi itu, Pengerusinya, Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail telah membentangkan fakta mengenai situasi dan menjawan semua soalan yang dikemukan oleh wakil-wakil NGO.

Antara NGO yang hadir termasuklah Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Majlis Usahawan Malaysia, Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Majlis Perundingan, Persatuan Pemikir Profesional Melayu dan Kanak-kanak Kelantan.

Antara yang diterangkan pada sesi dialog berkenaan adalah tentang kedudukan NFC sebagai sebuah syarikat swasta yang mendapat sokongan kerajaan dan diberi pinjaman yang terletak di bawah bidang kuasa Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.

No comments:

Post a Comment