Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Sunday, 20 November 2011

Kehadiran sejuta pengunjung bukti jenama BN terus diterima


Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, tiada sebarang kecacatan pada jenama Barisan Nasional (BN) dan yakin ia akan terus diterima oleh rakyat Malaysia.

Beliau berkata, sebagai buktinya lebih setengah juta rakyat Malaysia, khususnya golongan muda hadir di sepanjang Karnival Kerjaya Pemuda BN, walaupun ada sesetengah pihak sangsi dengan penerimaan masyarakat terhadap jenama BN.

Najib yang juga Pengerusi BN berkata, selagi mana produk dan perkhidmatan yang disediakan parti itu menepati cita rasa serta mengambil kira kehendak rakyat, program yang dilaksanakan pasti akan mendapat sambutan.

Menurutnya, begitu juga dalam soal Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13), jika calon yang dikemukakan BN mempunyai ciri-ciri sebagai calon yang boleh menang, tiada sebab untuk parti itu ditolak oleh rakyat.

"Sekiranya ada pihak yang sangsi dengan jenama BN, maka kesangsian mereka meleset. Buktinya Karnival Kerjaya Pemuda BN mendapat sambutan yang sangat menggalakkan," katanya pada majlis penutupan Karnival Kerjaya Pemuda BN 2011 di sini, hari ini.

Dalam perkembangan berasingan Najib berkata, Malaysia boleh mencapai pertumbuhan ekonomi sebanyak lima hingga enam peratus menjelang akhir tahun ini menerusi perancangan rapi, dasar yang mantap serta pelaksanaan berkesan.

Jelasnya, tiga ramuan penting kerajaan itu telah terbukti berkesan dalam membangunkan ekonomi negara selama ini dan hasilnya, Malaysia mencatat pertumbuhan sebanyak 5.8 peratus bagi suku ketiga tahun ini.

"Kita dapat membuktikan bahawa kita mampu membawa kejayaan kepada negara. Kejayaan itu kerana BN merupakan parti yang telah diuji dan telah membuktikan kemampuan kita dalam membangunkan negara," katanya.

Sementara itu, Perdana Menteri berkata, Malaysia bertuah kerana berada di bawah kategori negara yang mengalami pertumbuhan ekonomi saban tahun serta mampu menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat.

Beliau berkata, kedudukan negara jauh lebih baik berbanding Amerika Syarikat yang berada di bawah kategori negara yang mengalami pertumbuhan ekonomi tetapi tidak mampu menyediakan pekerjaan untuk rakyatnya.

Malah tegas beliau, kemakmuran ekonomi yang dikecapi Malaysia jauh meninggalkan negara-negara Eropah seperti Itali dan Greece yang berada di bawah kategori negara yang mengalami penguncupan ekonomi.

No comments:

Post a Comment