Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Thursday 30 June 2011

MBN9 Bidas Mat Sabu

REMBAU - Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan hari ini membidas Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu yang mendakwa Empangan Sepri di sini yang baru beroperasi bocor dan membahayakan penduduk di kawasan itu.

Beliau yang berang dengan dakwaan itu menyifatkan ia sebagai satu pembohongan besar terutamanya kerana Mohamad yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu itu tidak mempunyai sebarang pengetahuan mengenai teknologi terkini dalam pembinaan empangan.

"Ini adalah satu pembohongan kerana dia tak tahu pun bahawa empangan ini dibina menggunakan teknologi Roller Compacted Concrete (RCC) yang mana adalah sesuatu yang normal bagi sedikit air akan mengalir keluar melalui lapisan konkrit.

"Tetapi malangnya, Mohamad Sabu telah pergi keliling kampung dan beritahu penduduk empangan ini bocor dan ia membahayakan mereka," katanya ketika berucap pada majlis perasmian Empangan Sepri di sini hari ini.

Majlis itu disempurnakan oleh Mohamad bersama Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Peter Chin Fah Kui.

Turut hadir pada majlis itu ialah Pengerusi Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB), Tan Sri Mohd. Tajol Rosli Ghazali dan Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Air Negeri Sembilan, Datuk Rosman Abdullah.

Empangan bernilai RM63.2 juta itu yang berkeupayaan menampung 3.5 juta meter padu air beroperasi tahun ini dan membekalkan air untuk penduduk di sini dan Port Dickson.

Mohamad juga menempelak Mat Sabu yang mendakwa kerajaan negeri tidak mampu membayar hutang kerana membuat pinjaman sehingga RM2 bilion untuk penyediaan infrastruktur bekalan air.

Katanya, walaupun kerajaan negeri membelanjakan lebih RM800 juta bagi membina Empangan Triang dan RM265 juta bagi Projek Skim Bekalan Air Batu Hampar, semua hutang itu pada akhirnya akan dipindahkan kepada Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) berdasarkan kepada Inisiatif Penstrukturan Semula Industri Perkhidmatan Air oleh Kerajaan Persekutuan.

"Apa yang Mat Sabu tahu tentang prosedur perakaunan? Negeri Sembilan adalah antara negeri yang membayar hutangnya dengan baik. Malah hari ini, kami telah membayar kira-kira RM300 juta untuk hutang yang dibuat dengan Kumpulan Wang Amanah Pencen (KWAP) lima tahun lalu," katanya.

No comments:

Post a Comment