Keangkuhan Lim Guan Eng akhirnya goyah juga apabila beliau
semalam mengakui yang beliau merasa bimbang yang Pakatan Rakyat akan kehilangan
kuasa di Pulau Pinang. Kenyataan beliau di dalam akhbar berbahasa Cina, Nanyang
Siang Pau semalam jelas menunjukkan ketidakyakinan beliau dalam menghadapi
pilihanraya akan datang.
Kebimbangan beliau berpunca dari kesungguhan BN bekerja
dalam memulihkan sokongan rakyat negeri itu, yang menyaksikan lawatan yang
kerap dari pemimpin-pemimpin tertinggi BN ke kawasan-kawasan panas di sekitar
negeri itu. Selain itu, beliau juga merasa bimbang mengenai insiden-insiden
keganasan yang berlaku kerana isu-isu tertentu.
Menurut beliau lagi, adalah sukar bagi PR untuk menandingi
BN dari segi jentera, wang dan media atau 3M (machinery, money and media) di
mana BN mempunyai kelebihan sebagai kerajaan pusat. Sasaran kini, katanya
adalah untuk memenangi 100 dari 222 kerusi sudah dikira mencukupi bagi PR
kerana ia pasti menimbulkan huru-hara di dalam UMNO. Apabila BN kehilangan 2/3
majoriti, Dato’ Seri Najib pasti akan dicabar dan pencabarnya akan membantu
melemahkan BN secara tidak langsung.
Itu adalah kenyataan dari mulut Guan Eng sendiri. Yang
pasti, kebimbangan Lim Guan Eng bukan terhad kepada beberapa faktor yang
disebutnya di atas sahaja. Tetapi, faktor yang paling kritikal ialah dirinya
sendiri.
Sebelum berkuasa di Pulau Pinang, Lim Guan Eng atau DAP
secara keseluruhan sememangnya sinonim dengan imej rasis dan chauvinis. Hakikat
bahawa DAP adalah pencetus 13 Mei tidak mungkin dapat dipadamkan daripada
sejarah walau bagaimana licik pun mereka berusaha mengubah sejarah.
Apabila Guan Eng menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang, rakyat
telah diberi amaran berkenaan sikap rasis dan chauvinis DAP. Ternyata apa yang
ditakuti menjadi nyata apabila Lim Guan Eng dengan selamba memungkiri janji
kepada kaum India dengan merampas tanah kampung mereka dan dengan angkuh
menghalau dan merobohkan kedai-kedai dan kampung milik kaum Melayu.
Para pemerhati politik dan mereka-mereka yang berfikir
dapat melihat dengan jelas bagaimana Lim Guan Eng menghalau kaum-kaum lain
secara sistematik dan licik menggunakan kuasa dan undang-undang ke atas mereka
yang lemah. Tanah-tanah kampung yang dirampas, didirikan rumah-rumah dan pusat
komersial berkos tinggi bagi memastikan kaum Melayu dan India yang majoritinya
terlalu jauh ketinggalan dari segi ekonomi berbanding kaum Cina tidak akan
mampu memilikinya hatta terpaksa keluar dari Pulau Pinang.
Selain itu, sikap diktator Guan Eng juga semakin terserlah
sehingga tidak lagi disenangi bukan sahaja oleh kaum bukan Cina, tetapi kaum
Cina sendiri. Antaranya, Lim Boo Chang, bekas ahli MPPP telah bertindak keluar
parti atas alasan khusus iaitu ‘sikap diktator dan autokratik’ Lim Guan Eng yang
menggunakan taktik mengugut dan menekan dalam pemberian projek sPICE. Sikap itu
juga sekali gus menunjukkan yang Guan Eng tidak telus atau korup dalam
pemberian projek-projek kerajaan negeri.
Guan Eng juga tidak mampu menyembunyikan kebenciannya yang
meluap-luap terhadap Melayu dan sikap inilah yang sering menimbulkan ketegangan
antara beliau dengan pegawai-pegawai kerajaan berbangsa Melayu. Bagi melakukan
‘damage control’ apabila sikapnya berjaya dihidu media, beliau terpaksa
berbohong dan berbohong mengenai apa yang sebenarnya berlaku.
Malangnya, Melayu tidak sebodoh yang Guan Eng sangka. Satu
demi satu pembohongannya didedahkan seluas-luasnya sehingga beliau kini digelar
sebagai Ketua Menteri lidah bercabang.
Sikap kepimpinan tertinggi DAP juga tidak mampu membantu
Guan Eng dalam meraih sokongan rakyat. Walaupun sibuk melaungkan keterbukaan,
menuntut kebebasan bersuara dan kebebasan media tetapi kepimpinan DAP sendiri
tidak bersikap terbuka. DAP terkenal dengan budaya memberi tekanan kepada
sesiapa sahaja yang menegur kepimpinan mereka. Tidak cukup dengan itu, mereka
juga menyeru boikot terhadap media yang mengkritik mereka. Bayangkan, bagaimana
Guan Eng boleh mengharapkan sokongan rakyat jika beliau sendiri bercakap tidak
serupa bikin?
Itu belum lagi dikira amalan kronisme dan nepotisme dalam
DAP di mana hanya mereka-mereka yang punya pertalian atau yang rapat dengan
kepimpinan atasan sahaja yang akan diberikan jawatan. Sikap komunis yang
sentiasa prejudis dan tidak mempercayai orang luar begitu menebal menjadikan
DAP sebagai parti yang ‘dingin’ dan tidak mesra rakyat.
Semua ini adalah faktor-faktor yang menyebabkan Lim Guan
Eng hilang keyakinan untuk menang dalam PRU akan datang. Mungkin Guan Eng
enggan mengakui semuanya tetapi kita yakin yang jauh di sudut hatinya dia tahu
setakat mana kebolehannya untuk mentadbir negeri. Seorang yang angkuh selalunya
akan banyak berbuat silap kerana enggan menerima teguran dan nasihat.
Walaubagaimanapun, ‘jatuh’ atau tidak Pulau Pinang kali ini
bukan bermakna PR akan selamat. 100 kerusi sasaran PR boleh dikatakan satu
cita-cita yang terlalu tinggi dengan keadaan Selangor yang dipenuhi sampah dan
berlubang di sana-sini akibat korupsi kerajaan negeri. Apa lagi dengan keadaan
pentadbiran Kedah yang terumbang-ambing dan Kelantan yang seolah-olah ‘koma’
selama-lamanya.
Oleh itu, kebimbangan Guan Eng sebenarnya amatlah
bertepatan sekali dengan perkembangan politik hari ini. Rakyat tidak lagi marah
dengan BN sepertimana tahun 2008 dahulu. Rakyat kini marah dengan PR pula, kerana
belum pun sampai sepenggal, sudah dilanda berbagai-bagai skandal.