Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Wednesday, 25 January 2012

Karpal pertikaikan kuasa prerogratif (hak Istimewa) Sultan Perak

Peguam Karpal Singh hari ini memfailkan notis rayuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang memerintahkan beliau membela diri atas tuduhan mengeluarkan perkataan berunsur hasutan terhadap Sultan Perak.

Notis tersebut difailkan di Pejabat Pendaftar Mahkamah Rayuan, Putrajaya pagi ini.

Karpal yang ditemui pemberita di sini memberitahu, kes itu dibawa ke peringkat mahkamah tertinggi, Mahkamah Persekutuan atas alasan Mahkamah Rayuan telah salah arah dan bertindak melampaui apa yang sepatutnya mahkamah itu lakukan.

Beliau turut berkata, semasa sebutan kes itu di Mahkamah Tinggi di sini pada 9 Februari ini, pihaknya akan memohon agar perbicaraan ditangguhkan sementara menunggu rayuan selesai di Mahkamah Persekutuan.

Mahkamah Rayuan pada 20 Januari lalu memerintahkan Karpal yang juga Pengerusi DAP membela diri atas tuduhan di bawah Akta Hasutan 1948 itu.

Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Ahmad Maarop yang bersidang bersama Datuk Clement Allan Skinner dan Datuk Seri Mohamed Apandi Ali sebulat suara memutuskan demikian selepas membenarkan rayuan pendakwa raya.

Keputusan itu sekali gus mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi pada 11 Jun 2010 yang melepas dan membebaskan Ahli Parlimen Bukit Gelugor itu tanpa dipanggil membela diri.

Peguam terkemuka itu dituduh mengeluarkan perkataan berunsur menghasut terhadap Sultan Perak di firma guamannya, Tetuan Karpal Singh & Co di Jalan Pudu Lama di ibu negara di antara 12 dan 12.30 tengah hari pada 6 Februari 2009.

Karpal diperintah membela diri di hadapan hakim yang sama.

Hakim Ahmad (kini hakim Mahkamah Persekutuan) ketika membacakan penghakiman bertulisnya berpendapat, Karpal wajar dipanggil membela diri selepas panel itu berpuas hati bahawa pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya.

Pada hemat beliau, perkataan-perkataan yang diucapkan oleh peguam tersebut mempunyai kecenderungan menghasut dan menimbulkan perasaan tidak puas hati dan kebencian rakyat terhadap Sultan Perak.

Ujar Hakim Ahmad, ini kerana ia cenderung untuk merendah-rendahkan Sultan Perak dengan mempertikaikan kuasa prerogratif (hak istimewa) baginda yang termaktub di bawah perlembagaan.

No comments:

Post a Comment