Thursday, 23 June 2011
Demonstrasi: Bersih : Melayu diperkuda
Bersih sangatkah “Bersih 2.0”? Masih di tahap kurang jelas penganjur menggunakan tatanama macam pencipta perisian menamakan versi perisian mereka. Dan kerana itu ia dilihat sebagai satu gimik teknikal. Namun apa yang pasti ialah perhimpunan haram yang bakal diadakan itu bertentangan dengan budaya Melayu serta bercanggah pula dengan undang-undang negara.
Sejak dulu lagi berdemonstrasi bukanlah amalan kita. Kalau ada pun kita berdemonstrasi, itu dulu, sebelum Merdeka. Orang Melayu berhimpun di perkarangan Dewan Sultan Suleiman pada 1946 dan kemudian di perkarangan Stesen Keretapi Tanah Melayu membantah penubuhan Malayan Union.
Matlamatnya adalah mulia. Ia adalah soal hidup matinya bangsa Melayu dalam buminya sendiri.
Selepas Merdeka, tidak ada lagi demonstrasi serupa itu kerana sistem demokrasi berparlimen membolehkan sesiapa sahaja yang mahu mengubah cara mentadbirkan negara ini bertanding dalam pilihan raya dan membiarkan rakyat membuat pilihan.
Namun, amalan budaya politik Malaysia dipecahkan pada Disember 1974 apabila Anwar Ibrahim turut sama memimpin apa yang dikenali dalam sejarah sebagai Demonstrasi Baling dan sekali gus dilihat sebagai pengasas demonstrasi di Malaysia.
Cara ini kemudian menjadi ikutan parti pembangkang lain sebagai cara paling mudah untuk cuba menimba populariti umum dengan bermodalkan isu-isu yang dirungutkan rakyat.
Ia berterusan dari semasa ke semasa dan memuncak apabila Anwar sekali lagi menjadi sebab kepada demonstrasi bertemakan reformasi sebaik sahaja dia dipecat dari kerajaan dan UMNO.
Bermula dari sini juga lahirlah tokoh politik jalanan dari parti pembangkang itu yang membawa apa sahaja isu ke jalan raya dengan membawa sepanduk dan sebagainya. Namun, persoalannya selesaikah masalah yang diperjuangkan itu? Yang kita nampak ketara ialah ia hanya merosakkan harta benda dan perpaduan kaum.
Begitu pun, hari ini sudah ada pihak tertentu yang berselindung di sebalik NGO dengan memperkuda keberanian orang Melayu bagi memanjangkan perjuangan menggulingkan pemerintah. Dan yang mengecewakan NGO ini didominasi oleh bukan Melayu.
Bagi penganjur, dan pendukung serta penyokong mereka, kalau mahu sangat meminda undang-undang mengenai prosedur pilihan raya yang dianggap tidak adil, bertanding sahaja dalam pilihan raya umum. Kalau menang boleh buat undang-undang sendiri. Cara baling batu sembunyi tangan adalah cara orang yang penakut.
Maka itulah sebabnya disarankan, bahkan ditekankan agar kerajaan menggunakan peruntukan ISA untuk mereka dan untuk sesiapa sahaja yang terlibat dalam demonstrasi ini.
Walaupun Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein menafikan akan mengambil tindakan di bawah undang-undang ini namun ia bukanlah muktamad kerana perkara ini kini diserahkan kepada kebijaksanaan pihak polis.
Jika ditahan kelak, mereka yang terlibat tak perlu mendapatkan simpati rakyat kerana hakikatnya, sama ada disedari atau tidak mereka bukan sahaja telah menderhaka kepada negara tetapi menjadi pemangkin kepada ancaman dan bahaya yang lebih besar terhadap rakyat dan negara ini.
Kira-kira dua tahun dahulu, Bersih turut terlibat dalam kempen anti-ISA. Tentu sekali ramai orang Melayu yang turut sama berarak di jalan raya bagi meramaikan demonstrasi ini tanpa memahami apakah ISA dan mengapa ia perlu terus dilaksanakan.
Bagi mereka ini, kita imbau kembali secebis kisah membabitkan penahanan di bawah ISA ini.
Melalui novelnya, Tujuh Tahun Malam Memanjang, Allahyarham Datuk Ahmad Boestamam menyentuh hati kita dengan pengalamannya ketika meringkuk dalam tahanan ISA.
Namun itu adalah ISA zaman British, bermula dengan Emergency Regulations Ordinance 1948 juga dikenali sebagai the Emergency Regulations di mana ia digunakan sewenang-wenangnya bukan sahaja membanteras kegiatan subversif tetapi juga bagi menjaga kepentingan politik dan ekonomi mereka. Dua belas tahun selepas undang-undang yang ditulis oleh seorang bernama R H Hickling itu dimansuhkan apabila tempoh Darurat berakhir dengan rasminya pada 31 Julai 1960 dan digantikan dengan Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960, ia telah mengisyaratkan pendekatan baru dalam menangani isu keselamatan dalam negeri berasaskan ordinan asal.
Ketika membahaskan rang undang-undang ini di Parlimen pada tahun itu, Allahyarham Tun Abdul Razak, Timbalan Perdana Menteri ketika itu, menjelaskan: “Rang Undang-Undang Pindaan Perlembagaan, sebagaimana yang ahli-ahli sedia maklum mengandungi banyak klausa yang seharusnya dipinda. Bagaimanapun saya hanya akan menyebut beberapa klausa yang penting dan relevan. Terpenting adalah perkara 30 mengenai penahanan preventif�”
Benar, walaupun Darurat telah berakhir tetapi saki baki anggota PKM yang bergerak di bawah tanah dan bersedia mengeksploitasi sesuatu situasi masih lagi merupakan risiko kepada keselamatan awam.
Peluang yang dimaksudkan ini bukan lagi dalam bentuk menyerang balai polis sebagaimana yang berlaku ke atas Balai Polis Bukit Kepong, Johor pada Februari 1950 atau meletupkan landasan keretapi di Tapah pada April 1956. Apa yang dibimbangkan ialah peluang pihak tertentu memanjangkan idea berbeza tentang tuntutan kemerdekaan dan perkara bersabit dengannya daripada apa diamalkan oleh kerajaan yang sah.
Tidak mustahil, bertolak dari latar belakang seperti ini Pak Boes ditahan untuk kali ke-3 di bawah undang-undang sama pada tahun 1963. Sebagai Ahli Parlimen pembangkang, Pak Boes dilihat sebagai menghalang usaha Almarhum Tunku Abdul Rahman untuk menubuhkan Malaysia.
Dari segi kemanusiaan kita boleh bersimpati dengan penderitaan fizikal dan mental yang dialami oleh Pak Boes seperti dalam novelnya itu. Namun apa yang berlaku sebenarnya adalah satu accidental history. Sekiranya tidak wujud ancaman komunis di negara ini ketika itu, laluan yang diambil oleh beliau sudah tentu berbeza.
Hari ini, senario seperti itu sudah tidak wujud. Namun anasir-anasir anti kerajaan yang mahu mencetuskan huru-hara dengan menggunakan orang Melayu seakan-akan sudah menjadi satu trend. Apakah ini yang kita mahukan?
Labels:
BERSIH,
pakatan rakyat
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment