NEW YORK: Malaysia akan berada di barisan hadapan untuk generasi akan datang yang maju dalam sains dan teknologi menerusi Majlis Penasihat Sains dan Inovasi Global (GSIAC).
Majlis itu akan turut membantu membangun dasar-dasar inovasi, kata pakar mengenai keusahawanan dan penyelidikan pengkomersialan serta penulis kolum di Bloomberg BusinessWeek yang berpangkalan di sini pada Selasa.
Majlis itu akan turut membantu membangun dasar-dasar inovasi, kata pakar mengenai keusahawanan dan penyelidikan pengkomersialan serta penulis kolum di Bloomberg BusinessWeek yang berpangkalan di sini pada Selasa.
"Mereka juga percaya GSIAC boleh menyediakan perspektif baru serta membantu pemimpin Malaysia membangunkan dasar-dasar baru dalam membina kapasiti inovasi dan juga membawa pengalaman antarabangsa dalam pelbagai bidang ekonomi," kata Penyelidik Kanan Bersekutu Program Kehidupan Kerja dan Buruh Sekolah Undang-undang Harvard, Dr Vivek Wadhwa kepada Bernama dalam satu temu bual.
Beliau berkata, Malaysia mencatatkan perkembangan yang hebat dalam membangunkan ekonomi, infrastruktur, dan meningkatkan taraf rakyatnya.
"Pemikiran baru diperlukan untuk membawa Malaysia ke peringkat yang berikutnya dan tiada penyelesaian mengikut buku teks.
"Negara ini mempunyai kekuatan yang unik dan GSIAC akan membawa bersama pakar-pakar dalam pelbagai bidang inovasi di bawah Akademi Sains New York, yang tidak mempunyai agenda atau berat sebelah.
"Besar kemungkinan kumpulan ini boleh menyediakan perspektif yang baru serta membantu pemimpin Malaysia membangunkan dasar baru untuk inovasi," kata Wadhwa, yang juga Pengarah Penyelidik, Pusat Untuk Keusahawanan dan Penyelidikan
Pengkomersialan Sekolah Kejuruteraan, Duke University.
Semasa ditanya keperluan penekanan terhadap sains dan inovasi apabila dasar Malaysia selama ini adalah sains dan teknologi, beliau berkata: "Teknologi penting dan sektor teknologi Malaysia akan mendapat faedah daripada dasar yang mementingkan inovasi dan sains.
"Penemuan utama sejak tiga dekad lepas datangnya dari teknologi berasaskan komputer peribadi seperti multimedia, internet dan e-perdagangan dan yang paling terkini daripada media sosial.
"Revolusi teknologi berikutnya akan berlaku apabila kita menggabungkan teknologi ini dengan sains," katanya.
Ketika memberi contoh, beliau berkata: "perangkaian genome, yang berlaku sedekad lalu dan menelan belanja AS$300 juta, kini pada kos kira-kira AS$10,000, dan dalam lima tahun, ini akan membabitkan kos kira-kira AS$100. Bayangkan apa yang anda boleh lakukan dengan menggabungkan teknologi dengan sains".
Mengenai harapan daripada mesyuarat GSIAC pada Selasa, Wadhwa yang juga penasihat beberapa syarikat baru dan penulis kolum untuk Bloomberg BusinessWeek, penyumbang kepada blog teknologi terkenal TechCrunch, dan menulis beberapa penerbitan antarabangsa, berkata: "Ini adalah mesyuarat pengenalan bagi semua anggota GSIAC untuk memahami objektif dan sasaran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak selain mendapatkan lebih banyak maklumat."
Sementara itu, Pengerusi Lembaga Eksekutif Wageningen University and Research Centre, Dr A A Dijkhuizen berkata, GSIAC akan membantu menetapkan keutamaan yang tepat bagi mengukuhkan ekonomi Malaysia dan membawa banyak pengalaman antarabangsa dalam pelbagai bidang.
"Teknologi menjadi semakin penting. Ia perlu ke arah inovasi. Jadi, sains dan inovasi pada pandangan saya merupakan petunjuk yang lebih baik," katanya yang juga pakar dalam bidang makanan, pertanian dan minyak sawit.
Wageningen University and Research Centre juga dikenali sebagai Wageningen UR, adalah universiti awam bertaraf dunia Belanda dalam bidang sains pertanian terletak di Wageningen, Belanda.
Universiti dan pusat penyelidikan berkenaan melatih pakar dalam sains hayat dan menumpukan penyelidikannya terhadap masalah komersil, sains dan sosial dalam bidang sains hayat dan sumber asli.
Semasa ditanya apa yang bakal dicapai pada pertemuan pertama GSIAC dengan Perdana Menteri, beliau berkata, mesyuarat itu akan menemukan mereka dan mendapat idea khusus mengenai apa yang perlu menjadi keutamaan sebagai permulaan dan mengenai apa yang boleh ditawarkan anggota majlis.
"Input utama saya ialah dalam bidang makanan, pertanian dan minyak sawit, bagaimana untuk meningkatkan produktiviti, menambah baik kualiti dan kemampanan, selain berasaskan bio, penggunaan produk sisa untuk tenaga hijau dan kimia," katanya.
Najib mempengerusikan mesyuarat pertama GSIAC yang akan dihadiri lebih 35 anggota majlis termasuk 25 anggota antarabangsa dan 10 dari Malaysia di Akademi Sains New York di World Trade Center 7, Manhattan.
Antara yang menghadiri mesyuarat itu ialah Wakil khas Sains Amerika Syarikat ke Asia Selatan dan Asia Tenggara, Dr. Rita Colwell, KEtua Pegawai Eksekutif dan Presiden Akademi Sains New York Ellis Rubistein dan Dr Jeffrey Sachs, Pengarah Institut Bumi dan juga penasihat khas kepada Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, Ban Ki-Moon. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment