Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Monday 19 December 2011

PM: Kerajaan Lulus Dana RM400 Juta Bantu Syarikat Bas Henti-Henti

Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan kerajaan telah meluluskan dana berjumlah RM400 juta bagi membantu syarikat bas henti-henti yang sedang menghadapi masalah kewangan di dalam meneruskan operasi mereka.

Perdana Menteri berkata dana yang diluluskan itu akan diurus oleh Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) yang merancang untuk mengagihkan sejumlah RM100 juta pada suku pertama 2012.

“Untuk fasa pertama, dana bantuan itu akan digunakan untuk membantu syarikat-syarikat yang bermasalah di Selangor diikuti dengan negeri-negeri lain seperti Negeri Sembilan dan Pahang.

“Dana ini juga merupakan langkah interim yang diharap dapat menyelamatkan perkhidmatan bas henti-henti, demi kepentingan rakyat yang terlibat,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan melalui SPAD akan memulakan rundingan dengan pengusaha bas terlibat untuk membincangkan kaedah terbaik bagi menyelesaikan masalah yang timbul.

Perdana Menteri berkata ia penting untuk mencari penyelesaian jangka panjang bagi membolehkan pengusaha terlibat terus beroperasi, berteraskan kepentingan pihak pengusaha dan juga pengguna.

Beliau menjelaskan antara kaedah yang akan dibincangkan adalah penggunaan dana yang diluluskan sebagai subsidi mengikut per kilometer.

Menurutnya langkah itu perlu memandangkan beberapa syarikat bas yang menjalankan operasi bas henti-henti terutamanya di Selangor, Negeri Sembilan dan Pahang kini menghadapi masalah untuk mengekalkan perkhidmatan disebabkan masalah kewangan.

“Kerajaan menyedari impak perkhidmatan bas kepada pengguna pengangkutan awam dan sehubungan itu, SPAD akan terus komited untuk mencari penyelesaian komprehensif bagi menangani masalah yang timbul.

“Langkah-langkah itu adalah selaras dengan prinsip Rakyat Didahulukan yang sentiasa menjadi pendekatan kerajaan,” kata Perdana Menteri.

No comments:

Post a Comment