Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Monday 7 November 2011

Kenyataan DAP Tidak Rasional, Berbau Rasis


KUALA LUMPUR, 8 Nov – Pengerusi Badan Perhubungan Negeri Pulau Pinang, Datuk Zainal Abidin Osman menyifatkan kenyataan Setiausaha Publisiti DAP, Tony Phua untuk memberhentikan setengah daripada kakitangan kerajaan yang yang tidak effisien sekiranya DAP memerintah adalah satu kenyataan yang tidak bertanggungjawab dan biadap.


Katanya, selaku bekas kakitangan kerajaan, kenyataan itu amatlah tidak rasional dan berbau rasis.
“Adakah kerana kakitangan kerajaan majoritinya adalah orang Melayu maka kenyataan tersebut dikeluarkan. Adakah dengan memberhentikan setengah daripada kakitangan kerajaan maka ekonomi negara akan menjadi lebih baik?

“Pengangguran akan meningkat dan ramai orang akan hilang punca pendapatan. Ini akan menyebabkan hidup rakyat makin terhimpit. Bayangkanlah sekiranya DAP memerintah negara ini dan perkara ini dilaksanakan.

“Apa akan jadi dengan nasib rakyat. Kita harus menolak pemerintahan sebegini. Jika DAP mahu melaksanakan cadangan ini, lakukanlah di Pulau Pinang. Saya mahu lihat adakah rakyat Pulau Pinang akan menerima cara pentadbiran sebegini,” ujarnya kepada UMNO-Online.

Menurut Zainal, rakyat harus menilai kredibiliti DAP sebagai pemimpin kerana sebagai pembangkang, parti itu memang tidak patut diberi peluang menjadi pemimpin.

“DAP sebenarnya sudah makin terdesak untuk mendapatkan perhatian rakyat dan seboleh-bolehnya mereka mahu memainkan sentimen perkauman. Sebab itu mereka membangkitkan sentimen ini.
“Pilihanraya umum sudah semakin hampir. Melihat akan perubahan arus politik yang semakin menyebelahi BN membuatkan DAP semakin gusar akan kehilangan kuasa.

“Sebab itu mereka sentiasa menimbulkan sentimen perkauman agar rakyat negara ini berpecah belah dan seperti biasa, mereka akan menyalahkan UMNO apabila rakyat bertelagah,” ujarnya lagi.

Beliau tidak menolak, ada di antara kakitangan kerajaan yang tidak menunjukkan prestasi yang baik tetapi jangan kerana seekor lembu membawa lumpur, semuanya terpalit.

Oleh itu, Zainal amat berharap agar semua rakyat khususnya di Pulau Pinang sedar akan sandiwara yang dimainkan oleh DAP.

“Jangan mudah terpengaruh kerana sudah jelas, DAP amat terdesak untuk mendapatkan undi menjelang PRU 13 dengan memainkan sentimen perkauman”, katanya. -MediaUMNO

No comments:

Post a Comment