Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Thursday 23 June 2011

Kedai Rakyat 1 MALAYSIA

‘Perjuangan kukuh perpaduan’

 
Penubuhan Kedai Rakyat 1Malaysia seiring gagasan 1Malaysia: Najib


PETALING JAYA: Datuk Seri Najib Razak berkata, Kedai Rakyat 1Malaysia yang dilancarkan semalam bertepatan dengan perjuangan mengukuhkan perpaduan serta simbol pembelaan rakyat di negara ini.

Perdana Menteri berkata, konsep itu juga sesuai dengan gagasan 1Malaysia untuk memupuk integrasi dan perpaduan nasional dalam proses pengukuhan jati diri yang diperjuangkan selama ini.
Beliau berkata, jika sebelum ini Klinik 1Malaysia diwujudkan seiring dengan gagasan itu, konsepnya kini diperluaskan dalam bentuk produk dan perkhidmatan lain untuk manfaat rakyat. 

“Selepas sambutan meluas Klinik 1Malaysia, kini terjelma satu lagi usaha membantu mengurangkan beban dan meningkatkan keselesaan rakyat. Kini, konsep 1Malaysia tidak saja retorik dan diucapkan pada majlis atau program tertentu saja, sebaliknya membela nasib rakyat dengan menawarkan pelbagai produk yang harganya 30 hingga 40 peratus lebih rendah daripada biasa,” katanya ketika pelancaran kedai yang pertama, di Stesen LRT Kelana Jaya, di sini semalam.

Sebanyak 250 barang yang dibekalkan pengusaha kecil sederhana (PKS) tempatan dijenamakan sebagai Kedai Rakyat 1Malaysia, dijual di premis dikendalikan Mydin Mohamed Holdings Berhad dengan kerjasama kerajaan.

Perdana Menteri berkata, pelaksanaan Kedai Rakyat 1Malaysia sama seperti pelaksanaan Restoran Rakyat idea bekas Perdana Menteri, Tun Abdul Razak Hussein yang juga bapa beliau ketika zaman kemelesetan ekonomi pada 1970-an.

Beliau berkata, gagasan 1Malaysia membawa penyertaan individu semua etnik perlu untuk mengangkat martabat negara ke tahap negara maju dan berpendapatan tinggi.
“Jika setiap individu secara inklusif bersatu di bawah satu bumbung 1Malaysia, negara boleh berjaya dan cita-cita besar lebih mudah dicapai.

“Pelancaran premis itu sebagai langkah kreatif menyempurnakan misi kerajaan bagi menjamin kesejahteraan rakyat,” katanya.

No comments:

Post a Comment