Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Wednesday 25 January 2012

Usung keranda di Nilai


Nilai-Jawatankuasa Tenaga Kerja (JTK) diminta mengambil tindakan segera bagi menyelesaikan nasib dihadapi 161 pekerja tempatan sebuah kilang elektronik di Kawasan Perindustrian Nilai, di sini yang diberhentikan.

Setiausaha Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) Negeri Sembilan, Mohamed Dauzkaply Nor Ghazali berkata, sehingga kini, JTK seolah-olah mengambil sikap tunggu dan lihat.
Sedangkan, katanya, mengikut undang-undang, mereka mempunyai kuasa untuk membuat keputusan atau tindakan dalam menyelesaikan masalah itu.

 “Sebelum ini, MTUC bersama pihak JTK dan wakil daripada kilang sudah pun mengadakan perbincangan tetapi saya kecewa kerana apa yang kita tuntut bagi membela nasib pekerja tempatan tidak dipersetujui.

“JTK seolah-olah tidak menggunakan kuasa yang ada untuk menyelesaikan masalah ini yang dianggap mereka remeh. Masalah ini melibatkan nasib pekerja tempatan bukannya pekerja asing dan kemana lagi pekerja mahu mengadu kalau bukan dengan JTK,” katanya kepada Sinar Harian selepas pekerja terbabit sekali lagi membuat piket, semalam selepas tindakan sama dilakukan pada 20 Januari lalu.

Semalam, mereka berjalan kaki sambil mengusung keranda sejauh 500 meter sehingga depan pintu utama kilang sambil mela­ungkan ‘di mana keadilan kami’ sebagai tanda protes .

Mereka berbuat demikian selepas beberapa tuntutan dibuat kepada pihak pengurusan syarikat, terutama menggesa supaya menghentikan pekerja asing dan mengambil pekerja tempatan.

Menurut mereka, isu mereka mahu mengecilkan operasi tidak timbul kerana syarikat masih mampu membayar pekerja asing berbanding tempatan.

Sementara itu, seorang bekas pekerja, Ahmad kamal Affendi Shaari, 47, berkata, pekerja yang diberhentikan itu akan mengadakan piket secara berterusan, sehinggalah pihak pengurusan mengambil tindakan sewajarnya.

 “Kita akan adakan piket lagi bagi menunjukkan betapa seriusnya kami dalam menentang syarikat yang hanya mengutamakan pekerja asing berbanding tempatan.

Anwar, kalau berani saman saya-Ummi

Saya tak gentar
Ummi Hafilda Ali sedia untuk disaman oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim atas segala pendedahan yang dilakukannya melibatkan isu moral Ketua Pembangkang itu.

Saya dah ready (sedia). Tiada masalah (jika disaman Anwar). Pihak lain seperti Utusan Malaysia yang tak tahu secara mendalam tentang siapa Anwar, bolehlah dia (Anwar) guna mahkamah sebagai senjata.

Untuk itu, saya cabar dia sumpah laknat dan heret saya serta yang lain seperti Datuk S. Nallakaruppan ke muka pengadilan.

Itupun kalau dia berani. Tetapi, dalam hatinya, dia tahu apa yang kami tahu mengenai moralnya. Kalau dia saman saya, lagi dahsyat akan terdedah (isu moral).

Beberapa bekas pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang mencabar Anwar menyaman mereka dan bukan pihak lain termasuk media kerana mendedahkan isu moralnya.

Antara mereka yang membuat cabaran itu ialah bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Senator Ezam Mohd. Noor; bekas Naib Ketua AMK, Mohd. Zahid Md. Arip; bekas Setiausaha AMK, SD Johari Yasin; bekas Setiausaha Sulit Anwar, Anuar Shaari dan bekas ahli AMK, Hamizun Khairuddin.

Mengulas lanjut, Ummi Hafilda berkata, beliau berasa pelik dengan sikap Anwar yang selama ini popular dengan tagline 'lawan tetap lawan' tetapi bertindak 'menikus' apabila berhadapan dengannya dan Nallakaruppan.

''Oleh itu, jangan nak berlakon. Apa perkataan yang saya tak sebut tentang Anwar dalam ceramah. Tapi dia buat tak tahu sahaja. Mana tagline dia 'lawan tetap lawan'?
''Itulah, seperti yang saya katakan, dalam hati, dia tahu yang kalau dibawa ke tengah (saman di mahkamah), mungkin banyak lagi 'najis' yang keluar (pendedahan isu moral yang lebih dahsyat),'' ujarnya.

Beliau kemudiannya merujuk kepada kenyataan Anwar yang pernah melabel cabarannya untuk berdebat berhubung kebenaran kes salah laku seks sebagai 'soal nyamuk'.

''Saya masih ingat lagi dia berkata demikian. Hanya soal nyamuk. Di sini kita boleh lihat karakter sebenar Anwar yang entah ke mana hilangnya tagline 'lawan tetap lawan' yang selama ini diuar-uarkannya,''





Anwar saman utusan, tak berani saman Eskay, Ummi & Nalla

25 Jan.- Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak berani menyaman individu seperti Datuk Shazryl Eskay Abdullah, Datuk S. Nallakaruppan dan Ummi Hafilda Ali walaupun ketiga-tiga mereka telah secara terbuka mendedahkan kesalahan moral Ketua Pembangkang itu.
 
Bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Senator Ezam Mohd. Noor berkata, ini kerana Anwar sendiri tahu dakwaan mereka adalah benar dan banyak lagi 'pekung' akan dibuka sekiranya kes dibawa ke mahkamah.

''Kalau Anwar betul-betul mahu cari kebenaran, saya cabar dia saman 'orang rapat' beliau yang sekarang secara terbuka dan jelas menyatakan Anwar telah lakukan kesalahan moral dan tidak layak menjadi pemimpin.

''Anwar sepatutnya saman orang seperti Shazryl Eskay yang secara terbuka mendakwa Anwar dalam video lucah dahulu atau Nallakaruppan yang secara terbuka sebut Anwar peliwat.

''Saman juga Ummi Hafilda yang secara jelas sebut skandal Anwar. Anwar tidak berani saman mereka kerana Anwar tahu dakwaan mereka benar dan banyak lagi pekungnya akan dibuka jika kes dibawa ke mahkamah,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas tindakan Anwar yang hanya berani menyaman media seperti Utusan Malaysia berbanding mengambil tindakan sama terhadap beberapa bekas pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang menjadi antara terawal mendedahkan persoalan moral dan akhlak Anwar secara terang-terangan kepada umum.

Mengenai saranan debat antara Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Anwar oleh beberapa pihak, Ezam berkata, ia dilihat bertujuan menghina institusi Perdana Menteri di negara ini.
Katanya, tidak wajar sama sekali seorang seperti Anwar disaran berdebat dengan seorang Perdana Menteri.

''Anwar wajib jawab atau saman dakwaan serius tiga individu berkenaan tentang aktiviti liwat, pelacuran dan skandal isteri orang sebelum layak berdebat dengan Perdana Menteri,'' tegasnya.

Karpal pertikaikan kuasa prerogratif (hak Istimewa) Sultan Perak

Peguam Karpal Singh hari ini memfailkan notis rayuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang memerintahkan beliau membela diri atas tuduhan mengeluarkan perkataan berunsur hasutan terhadap Sultan Perak.

Notis tersebut difailkan di Pejabat Pendaftar Mahkamah Rayuan, Putrajaya pagi ini.

Karpal yang ditemui pemberita di sini memberitahu, kes itu dibawa ke peringkat mahkamah tertinggi, Mahkamah Persekutuan atas alasan Mahkamah Rayuan telah salah arah dan bertindak melampaui apa yang sepatutnya mahkamah itu lakukan.

Beliau turut berkata, semasa sebutan kes itu di Mahkamah Tinggi di sini pada 9 Februari ini, pihaknya akan memohon agar perbicaraan ditangguhkan sementara menunggu rayuan selesai di Mahkamah Persekutuan.

Mahkamah Rayuan pada 20 Januari lalu memerintahkan Karpal yang juga Pengerusi DAP membela diri atas tuduhan di bawah Akta Hasutan 1948 itu.

Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Ahmad Maarop yang bersidang bersama Datuk Clement Allan Skinner dan Datuk Seri Mohamed Apandi Ali sebulat suara memutuskan demikian selepas membenarkan rayuan pendakwa raya.

Keputusan itu sekali gus mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi pada 11 Jun 2010 yang melepas dan membebaskan Ahli Parlimen Bukit Gelugor itu tanpa dipanggil membela diri.

Peguam terkemuka itu dituduh mengeluarkan perkataan berunsur menghasut terhadap Sultan Perak di firma guamannya, Tetuan Karpal Singh & Co di Jalan Pudu Lama di ibu negara di antara 12 dan 12.30 tengah hari pada 6 Februari 2009.

Karpal diperintah membela diri di hadapan hakim yang sama.

Hakim Ahmad (kini hakim Mahkamah Persekutuan) ketika membacakan penghakiman bertulisnya berpendapat, Karpal wajar dipanggil membela diri selepas panel itu berpuas hati bahawa pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya.

Pada hemat beliau, perkataan-perkataan yang diucapkan oleh peguam tersebut mempunyai kecenderungan menghasut dan menimbulkan perasaan tidak puas hati dan kebencian rakyat terhadap Sultan Perak.

Ujar Hakim Ahmad, ini kerana ia cenderung untuk merendah-rendahkan Sultan Perak dengan mempertikaikan kuasa prerogratif (hak istimewa) baginda yang termaktub di bawah perlembagaan.

Tuesday 24 January 2012

Karnival Belia Negeri Sembilan 2012





Untuk maklumat lanjut layari www.mbnns.org.my

Bersihkan NFCorp dari tuduhan tidak berasas pembangkang-Wan Shahinu Izmir Salleh

Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFCorp) menegaskan bahawa langkah kerajaan melantik firma audit akan membantu membersihkan pihaknya daripada siri tuduhan tidak berasas dan membetulkan persepsi orang ramai berkenaan projek ternakan daging lembu yang muncul kontroversi ekoran Laporan Ketua Audit Negara 2010.

Dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini, NFCorp berkata, langkah kerajaan, yang diumumkan lebih seminggu lalu, akan membantu mengatasi kritikan-kritikan memandangkan penemuan juruadit bebas bebas akan mengetengahkan fakta sebenar berkenaan projek itu, yang dilaporkan menerima dana RM250 juta daripada kerajaan.

Langkah ini katanya diharap dapat menghapuskan syak orang ramai dan kritikan yang dihadapi NFC selama ini.

“Diharap dengan penglibatan syarikat itu dapat membetulkan salah tanggapan dan memulihkan kredibiliti syarikat daripada tuduhan-tuduhan oleh individu yang tidak bertanggungjawab,” katanya.

Baru-baru ini, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan berhasrat melantik sebuah firma perunding perakaunan untuk menjalankan satu penelitian wajar dan audit projek Perbadanan Fidlot Kebangsaan (NFC).

Katanya, bagi melindungi kepentingan kerajaan, firma perunding itu akan membuat penelitian dan audit projek dari segi penggunaan dana pinjaman, pengurusan dan kewangan projek tersebut.

“Tugasan ini dijangka akan dimuktamadkan dalam tempoh sebulan,” katanya.

Menurut Muhyiddin, NFCorp iaitu satu syarikat usahasama di antara Agroscience Industries Sdn Bhd dengan kerajaan telah diberi mandat sebagai integrator projek NFC.

Berikutan daripada itu, kerajaan memberi pinjaman mudah sebanyak RM250 juta kepada syarikat berkenaan bagi melaksanakan projek tersebut dan setakat ini sejumlah RM181 juta telah dikeluarkan.

Isu NFC timbul apabila Laporan Ketua Audit Negara 2010 pada Oktober lalu menyatakan perbadanan itu gagal memenuhi matlamat penubuhannya.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini, NFCorp juga berkata, pihaknya tidak akan membuat sebarang kenyataan sehingga pihak polis selesai membuat siasatan.

Pengarah Eksekutifnya, Wan Shahinu Izmir Salleh berkata, pihaknya mengambil pendirian itu bagi menghormati tugas pihak berkuasa menjalankan siasatan berhubung kontroversi yang timbul baru-baru ini.
Menurut Wan Shahinu Izmir berkata, beberapa laporan, penyata, buku-buku dan dokumen-dokumen NFCopr telah diserahkan kepada pihak polis bagi membantu siasatan.

"NFCorp telah memberi kerjasama menyeluruh dan sedang menantikan keputusan siasatan,” katanya yang dipetik dari kenyataan jurucakap mereka.

Menurut Izmir, sebelum ini perkataan 'kepincangan' digunakan dan diputarbelitkan  oleh pihak-pihak tertentu untuk mewujudkan kekeliruan persepsi serta menjejaskan perkembangan NFCorp.

“Sedangkan dalam laporan Ketua Audit Negara tidak ada langsung dinyatakan perkataan itu.

“Laporan itu juga boleh didapati secara percuma daripada laman web Jabatan Audit Negara di www.audit.gov.my dan orang ramai boleh membacanya sendiri untuk membuat penilaian,” katanya.

Tambah beliau, hal ini jelas menunjukkan bahawa tuduhan yang mengatakan bahawa ‘keadaan kucar kacir’ yang dilemparkan itu adalah tidak benar sama sekali.

Ahad lalu, satu sesi dialog di antara NFCorp dan 12 badan-badan bukan kerajaan (NGO) yang mewakili beribu-ribu ahli-ahli hadir bagi memberikan penjelasan kepada NGO yang terlibat tentang gambaran sebenar operasi NFCorp serta penyelesaian terhadap kebimbangan yang dibangkitkan.

Pada sesi itu, Pengerusinya, Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail telah membentangkan fakta mengenai situasi dan menjawan semua soalan yang dikemukan oleh wakil-wakil NGO.

Antara NGO yang hadir termasuklah Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Majlis Usahawan Malaysia, Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Majlis Perundingan, Persatuan Pemikir Profesional Melayu dan Kanak-kanak Kelantan.

Antara yang diterangkan pada sesi dialog berkenaan adalah tentang kedudukan NFC sebagai sebuah syarikat swasta yang mendapat sokongan kerajaan dan diberi pinjaman yang terletak di bawah bidang kuasa Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.

Menu Rakyat 1 Malaysia dapat sambutan

Hanya selepas hampir lima bulan program 'Menu Rakyat 1Malaysia' (MR1M) dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 7 Julai lalu, program itu kini semakin menampakkan kejayaan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, usaha yang bertujuan membantu rakyat mendapatkan makanan dengan harga berpatutan ini berjaya menarik penglibatan 1,254 pengusaha kedai makan sehingga 12 Januari lalu.

"Program yang menawarkan pakej makanan dengan harga berpatutan bagi sarapan dan makan tengah hari ini adalah program sukarela dan semua peniaga dan pemilik restoran boleh menyertainya," katanya.

Beliau berkata, harga yang ditawarkan di restoran terlibat dengan program MR1M ini sangat berpatutan.

Contohnya, harga paling tinggi menu untuk sarapan pagi bagi restoran di Semenanjung adalah RM2.00 dan makan tengah hari pula hanya RM4.00.

Manakala di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan, harga maksimum ialah RM2.50 (sarapan pagi) dan RM5.00 (makan tengah hari).

Pengunjung tidak perlu risau berhubung kenaikan harga untuk Menu Rakyat ini kerana pemantauan dilaksanakan setiap minggu oleh Pejabat Negeri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) bagi memastikan peniaga dan pemilik premis makanan patuh dengan harga yang ditetapkan.

Mana-mana pemilik yang tidak mematuhi harga ditetapkan akan dikeluarkan daripada program ini. Langkah ini adalah untuk memastikan garis panduan itu diikuti dan rakyat mendapat hak yang sebenarnya, jelas Ismail Sabri.

Menurut beliau, walaupun harga makanan yang ditetapkan murah, kualitinya tetap diberi keutamaan.

Penjelasan terperinci NFCorp oleh Ketua Pengarah Jabatan Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang

SHAH ALAM, 25 Jan - Ketua Pengarah Jabatan Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang memberitahu beliau akan memberikan penjelasan terperinci berkaitan dengan kemelut dalam Laporan Audit Negara 2010 dalam masa yang terdekat.

Beliau berkata demikian sebagai menjelaskan entiti perniagaan yang dimaksudkan dalam laporan tersebut sebenarnya merujuk kepada Pusat Fidlot Kebangsaan (NFC) dan bukannya NFCorp seperti yang didakwa.
"Saya akan memaklumkan penjelasan mengenai perkara ini dalam masa yang terdekat," kata Ambrin.

Ambrin turut mengakui pihak pengaudit keliru dengan di antara NFCorp sebuah syarikat Sendirian Berhad dengan syarikat kepunyaan Industri Asas Tani, sebuah entiti kepunyaan kerajaan secara keseluruhan.

Kemelut tercetus setelah Pengarah Strategik PKR, Rafizi Ramli dan Ketua Wanita, Zuraida Kamaruddin mendakwa berlaku penyelewengan dana pinjaman dan pembelian dua unit kondominium mewah di Bangsar, Kuala Lumpur.

Kedua-dua pemimpin PKR tersebut turut mendakwa Ketua Wanita UMNO, Shahrizat Abdul Jalil dan keluarganya menggunakan hampir RM600,000 dari dana yang diperuntukkan bagi membayar hutang kad kredit pada tahun 2009.

Walaubagaimanapun, NFCorp menafikan tuduhan tersebut sebagai tidak berasas dan berniat jahat terhadap syarikat milik persendirian tersebut. NFCorp turut menafikan dakwaan dan tuduhan dana RM250 juta dimasukkan kedalam akaun syarikat itu sebelum perjanjian berkenaan ditandatangani.

Sumber : KL POS

Friday 20 January 2012

Buaya kat City Park S2

Pengujung ke City Park, Seremban 2 gempar apabila seekor anak BUAYA dilihat berjemur 
di tebing tersebut...

Umanggg aiii... Bahayo tu.. mintak2 lah pihak berkenaan segera menangkap buaya tersebut kerana tempat ni memang ramai orang.. Sok gomok lak buaya ni lak...

Karpal Singh diperintah bela diri kerana derhaka kepada Sultan Perak

PUTRAJAYA 20 Jan. - Mahkamah Rayuan hari ini memerintahkan peguam terkemuka, Karpal Singh membela diri terhadap tuduhan di bawah Akta Hasutan 1948 kerana mengeluarkan perkataan berunsur hasutan terhadap Sultan Perak.

Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Ahmad Maarop yang bersidang bersama Hakim Datuk Clement Allan Skinner dan Hakim Datuk Seri Mohamed Apandi Ali sebulat suara memutuskan demikian selepas membenarkan rayuan pendakwa raya.

Hakim Ahmad (kini hakim Mahkamah Persekutuan) ketika membacakan penghakiman bertulisnya berpendapat, Karpal wajar dipanggil membela diri selepas panel itu berpuas hati bahawa pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya.

Pada hemat beliau, perkataan-perkataan yang diucapkan oleh peguam tersebut mempunyai kecenderungan menghasut dan menimbulkan perasaan tidak puas hati rakyat terhadap Sultan Perak.

Dengan keputusan tersebut, mahkamah mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi pada 11 Jun 2010 yang melepas dan membebaskan Karpal daripada tuduhan tersebut dan mengarahkan kes itu didengar di hadapan hakim yang sama.

Panel itu memerintahkan kes disebut di Mahkamah Tinggi pada 9 Februari depan bagi menetapkan tarikh perbicaraan.

Karpal dituduh mengeluarkan perkataan berunsur menghasut terhadap Sultan Perak di firma guamannya, Tetuan Karpal Singh & Co di Jalan Pudu Lama di ibu negara di antara 12 hingga 12.30 tengah hari pada 6 Februari 2009.

Dia didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan, yang membawa hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda RM5,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan. - UTUSAN

KIR1M dibuka 24 jam pada cuti perayaan

 
Kedai Ikan Rakyat 1Malaysia (KIR1M) akan dibuka untuk tempoh 24 jam sepanjang musim perayaan Tahun Baru Cina bermula Sabtu ini hingga Selasa depan. 

Pemiliknya, Datuk Jamal Md. Yunos berkata, idea beroperasi sepanjang hari tersebut bertujuan untuk memberi kemudahan kepada orang ramai yang tidak pulang ke kampung.

"Seperti yang berlaku di musim-musim perayaan sebelum ini, kebanyakan kedai tidak beroperasi dan memberi sedikit kesukaran kepada orang ramai.

"KIR1M turut memberi jaminan tiada kenaikan harga pada setiap barangannya sepanjang tempoh tersebut,"

Pelanggan kini boleh mengunjungi KIR1M di dua buah lokasi iaitu di Plaza Centrum, Setiawangsa dan MYagro Hypermarket, Serdang, Selangor.

Madrasah Salihiah: Mukhriz saran Kedah kemuka pelan baharu

Usaha Terakhir
ALOR SETAR 20 Jan. - Kerajaan Kedah tidak perlu menunggu keputusan mahkamah dalam menentukan nasib Madrasah Salihiah yang dijadual dirobohkan bagi membina Kompleks Aman Central.

Sebaliknya kata Timbalan Pengerusi UMNO Kedah, Datuk Mukhriz Tun Dr. Mahathir, kerajaan Kedah boleh terus mengemukakan pelan baharu yang mengecualikan tapak madrasah itu daripada terlibat dalam pembinaan kompleks tersebut.

Keputusan itu adalah lebih baik selain menjimatkan peruntukan membina surau baru yang dianggar bernilai lebih RM4 juta, katanya kepada pemberita selepas Program 4B Prihatin, Gerakan Belia 4B Alor Setar di pekarangan madrasah itu, di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Abdul Razak yang dilapor berkata, kerajaan negeri akan akur jika mahkamah memutuskan rancangan meroboh surau itu ditangguh, namun akan melawan andai keputusan menggendalakan keseluruhan projek Aman Central. - BERNAMA

Thursday 19 January 2012

Bantuan khas RM3,000 untuk bekas kakitangan kontrak Kemas

PUTRAJAYA 20 Jan. - Bekas kakitangan kontrak Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) yang telah berkhidmat lebih lima tahun, boleh memohon mendapatkan bantuan khas RM3,000 mulai sekarang.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, bantuan khas itu dibuat secara ‘one-off’ atau sekali sahaja dan akan dibayar dalam waktu terdekat.

"Setakat ini, 5,000 kakitangan yang telah dikenal pasti, bagaimanapun ada nama-nama yang tidak dapat dikesan, boleh menghubungi pejabat Kemas berhampiran tempat masing-masing,” katanya kepada pemberita di sini hari ini. - BERNAMA

SPR persoal niat penganjur Bersih 3.0


Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mempersoalkan hasrat Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) untuk sekali lagi turun ke jalanan sedangkan banyak tuntutan mereka telah dipersetujui dilaksanakan pada pilihan raya umum akan datang.


Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof berkata, beliau tidak faham mengapa Bersih masih tidak berpuas hati kerana pelbagai ruang telah diberikan kepada mereka untuk mengemukakan cadangan termasuk kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) Berhubung Penambahbaikan Proses Pilihan Raya.


“Saya rasa hairan dan pelik dengan tindakan Bersih ini. Sebelum ini SPR telah membuka ruang kepada mereka untuk meluahkan rasa tidak puas hati dan memberi cadangan kepada jawatankuasa yang ditubuhkan ini.


“SPR juga berusaha sedaya upaya menerima cadangan dan pandangan melalui jawatankuasa khas yang ditubuhkan ini dan banyak juga cadangan telah dipersetujui,” katanya.


Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyampaikan taklimat kepada Pegawai Pengurus dan Penolong Pegawai Pengurus untuk persiapan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) di sini hari ini.


Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Muhammad Safian Ismail dan Ketua Polis negeri, Datuk Sharifuddin Abdul Ghani.


Pengerusi Bersih, Datuk S. Ambiga sebelum ini tidak menolak kemungkinan untuk sekali lagi turun ke jalanan sekiranya cadangan mereka mengenai reformasi pilihan raya gagal dilaksanakan oleh pihak berkuasa.


Tegas Abdul Aziz, masalah mengenai pembaharuan pilihan raya tidak akan dapat diselesaikan dengan cara berdemonstrasi.


“Buat apa kita pergi ke jalan raya untuk mengadakan demonstrasi. Kita ada pelbagai ruang untuk meluahkan rasa tidak puas hati contohnya seperti menghantar memorandum, surat dan berjumpa sendiri dengan SPR.


“Malah banyak perkara yang dikemukakan itu telah dipersetujui. Dahulu sibuk pasal dakwat kekal sekarang kita telah setuju, dulu sibuk pasal daftar pemilih sekarang kita dah bersihkan seberapa yang boleh,” jelasnya.


Beliau menasihatkan kepada Bersih jika ada cadangan yang baik dan bernas untuk membaiki lagi pilihan raya, mereka boleh kemukakan kepada SPR.


“Masa ada lagi, mereka boleh hantar surat. Kalau ingin mengadakan perjumpaan dengan SPR, kami sangat terbuka. Tetapi jika ada cadangan yang tidak sesuai dilaksanakan, kita tidak akan laksanakan,” katanya.

1,000 tertipu Skim Jala Ikan

BUKIT MERTAJAM 19 Jan. - Hasrat lebih 1,000 individu untuk menikmati hasil pelaburan terbantut malah mereka kerugian lebih RM1 juta apabila seorang pengusaha skim cepat kaya yang disertai mereka melarikan diri, baru-baru ini.

Semua peserta itu melabur wang tunai melalui skim diberi nama 'Pelaburan Jala Ikan' yang menjanjikan pulangan lumayan RM450 setiap bulan.

Bagi menerima bayaran itu, peserta perlu membuat pelaburan tunai RM1,450 dan hasil keuntungan hanya diberi untuk tempoh lapan bulan sahaja.

Ketika mereka sepatutnya menerima bayaran itu, pengusaha terbabit menghilangkan diri yang menyebabkan peserta pelaburan itu baru sedar yang mereka telah menjadi mangsa penipuan.

Salah seorang mangsa skim itu, N. Rajendaran, 51, daripada Taman Selasih, Kulim berkata, dia setuju menyertai skim itu dengan pelaburan sebanyak RM13,050 pada 30 November lalu.

"Saya diberi pelbagai janji manis supaya menyertai skim itu. Akhirnya saya buat pelaburan sebanyak itu dengan harapan mendapat keuntungan lebih besar," katanya ketika ditemui di sini semalam.

Dia antara empat daripada 1,000 orang yang membuat laporan polis setelah menjadi mangsa penipuan skim itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) semalam.

Skim itu mula diperkenalkan di sini bulan Februari tahun lepas dan disertai oleh ramai kakitangan kerajaan dan syarikat swasta.

Rajendran berkata, dia sanggup menyerah wang sebanyak itu kepada seorang wanita yang dikatakan menjadi kerani pada skim pelaburan tersebut.

"Sepatutnya saya menerima wang keuntungan itu pada masa yang ditetapkan malangnya, pengusaha berkenaan telah pun menghilangkan diri," katanya sedih.

Seorang lagi mangsa dikenali sebagai, Selvam, 42, dari Taman Kota Permai, Bukit Mertajam berkata, dia sedih kerana membuat pelaburan melebihi RM50,000 setelah membuat pinjaman dari sebuah bank tempatan.

"Saya sanggup buat pinjaman dari bank itu kerana pihak pengusahanya menyediakan dokumen perjanjian lengkap.

"Saya alami kerugian besar dan kena bayar balik pinjaman kepada bank selama 15 tahun," katanya.

Menurut Selvam, pengusaha lelaki terbabit sanggup datang ke rumahnya pada awal bulan November lalu dan menegaskan pelaburan diperkenalkan itu adalah yang terbaik untuk masyarakat India di negeri ini.

Seorang pelabur termuda dalam skim itu, Ang Seew Keing, 23, dari Kubang Semang pula berkata, dia sanggup menyerah wang sebanyak RM20,300 kepada wanita berkenaan sebelum ia menyerahkan kepada pengusaha skim tersebut.

"Saya hanya sempat melabur RM20,300 sahaja dalam skim itu dan sebanyak RM10,300 telah dapat semula dan sehingga ini bakinya RM9,000 dilarikan oleh lelaki itu," katanya.

Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Komersial daerah, Asisten Komisioner Ridzuan Nor Ihsanketika dihubungi berkata, pihaknya menerima empat aduan daripada beberapa mangsa pelabur skim itu di negeri ini.

"Polis akan menjalankan siasatan sebaik sahaja menerima aduan tersebut," katanya.

sumber : Oleh ABD. RAZAK OSMAN 
utusanpenang@utusan.com.my

Wanita terkaya dihukum mati

SHANGHAI 19 Jan. - Mahkamah Agung China hari ini mengekalkan hukuman mati ke atas seorang wanita yang pernah tersenarai sebagai wanita terkaya di China selepas dia didapati bersalah melakukan penipuan melibatkan AS$60 juta (RM186 juta).

Menurut akhbar Daily Shanghai, mahkamah agung wilayah timur Zhejiang semalam menolak rayuan yang dikemukakan Wu Ying, bekas Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bense Holding yang terlibat dalam mengutip dana secara haram.
"Hukuman yang dijatuhkan setimpal dengan perbuatan pesalah," kata mahkamah.

Wu disenaraikan sebagai wanita keenam terkaya di China pada 2006, menurut Laporan Hurun yang disiarkan dalam majalah-majalah ternama di China.

Agensi berita Xinhua melaporkan, syarikatnya, Bense, menjalankan pelbagai perniagaan dari perhotelan hingga bahan-bahan binaan.

Dalam kesnya, Wu mengutip dana daripada golongan pelabur dengan menjanjikan pulangan sebanyak 80 peratus, namun dia menyalahgunakan wang tersebut untuk membayar hutangnya.

Hukuman mati tersebut, bagaimanapun perlu diteliti Mahkamah Agung Rakyat.

Pihak berkuasa menahan Wu pada 2007 dan dia didapati bersalah buat kali pertama pada 2009 dan dibicarakan sejak April tahun lalu selepas mengemukakan rayuan. - AFP

PAS Roboh Madrasah bina Hotel 5 bintang

Sama ada keputusan mahkamah memihak kepada kerajaan dan Majlis Fatwa Kedah atau tidak
 projek Aman Central berharga RM500 juta akan dilaksanakan mengikut jadual,
kata Menteri Besar Datuk Seri Azizan Abdul Razak.
Katanya sebuah hotel lima bintang jua akan dibina di tapak bertentangan Aman Central untuk merancakkan pertumbuhan kawasan itu.

Projek tersebut menggantikan kompleks Tunku Yaacob yang terbiar lebih 30 tahun kerana gagal dimajukan sehingga siap selain beberapa kali bertukar pemaju.

"Saya fikir masalah ini akan selesai...projek mercu tanda baru bandar raya Alor Setar ini akan diteruskan. Kalau mahkamah tahan tidak boleh roboh tak apalah. Biar surau tu dok di situ. Kita akur keputusan mahkamah.



Shahrizat saman Zuraida, Rafizi RM100 juta

KUALA LUMPUR - Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil petang ini memfailkan saman ke atas Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin dan Pengarah Strateginya Rafizi Ramli sebanyak RM100 juta berhubung projek kontroversi Pusat Fidlot Nasional (NFC).

Shahrizat dalam saman yang difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mendakwa, Zuraida dan Rafizi telah memfitnah dan memburuk-burukkan beliau.

Beliau yang diwakili peguam Datuk Seri Muhammad Shafee Abdullah menuntut RM50 juta untuk ganti rugi am dan RM50 juta untuk ganti rugi teruk dan teladan.

Menurutnya, saman itu dikemukakan dengan asas bahawa siasatan terhadap NFC yang sedang berjalan diyakini akan membuktikan Shahrizat tidak bersalah.

Shafee berkata, anak guamnya masih lagi bercuti, dan difahamkan cuti yang diambil itu adalah dengan rela hati tanpa ada paksaan daripada mana-mana pihak bagi memudahkan siasatan pihak berkuasa.

"Anak guam saya juga memohon perintah injuksi bagi menghalang kedua-dua defendan daripada membuat sebarang pernyataan atau kenyataan secara bertulis terhadapnya berkaitan NFC atau syarikat-syarikat bersekutunya," katanya.

Zuraida yang juga Ahli Parlimen Ampang dikatakan telah melakukan serangan fitnah dalam artikel yang bertajuk Isu NFC akan tumbangkan BN-Wanita Keadilan dan NFC dapat kontrak kerana Shahrizat Menteri Umno-Zuraida.

Rafizi didakwa banyak mengeluarkan kenyataan akhbar kepada pihak media dan artikel yang berunsur fitnah dengan jelas dan tersirat di laman web www.rafiziramli.com dan www.keadilandaily.com .

Kedua-dua defenden ini dikatakan secara konsisten melancarkan satu kempem untuk menyerang dan memfitnah Shahrizat sejak November 2009 selaku Ketua Pergerakan Wanita Umno, menteri dan beliau sendiri sebagai seorang individu.

Berdasarkan penyataan tuntutan yang difailkan Tetuan Shafee & Co. dinyatakan bahawa Shahrizat sebagai plaintif tidak pernah memiliki sebarang ekuiti mahupun memegang jawatan sebagai pengarah di NFC, Agro-Science Industry Sdn Bhd atau mana-mana syarikat yang bersekutu.

NFC dipengerusikan suami Shahrizat, Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail manakala tiga anak beliau adalah pemegang saham dan pengarah di dalam syarikat Agro-Science Industry Sdn Bhd adalah syarikat induk yang memiliki hampir kesemua saham terbitan NFC dengan satu saham 'preference' dipegang kerajaan Malaysia.

Pada 2006, Kementerian Pertahanan menganugerahkan pembinaan projek Fidlot Nasional kepada Agro-Science Industry Sdn Bhd dan Lamberts Agriculture Trade Sdn Bhd.

Bagaimanapun Lamberts Agriculture Trade Sdn Bhd manarik diri dan projek berkenaan hanya dianugerahkan kepada Agro-Science Industry Sdn Bhd melalui NFC.

Keputusan atau isu penganugerahan projek ini tidak pernah dibawa ke Kabinet dan oleh itu Shahrizat tidak menyertai atau mempengaruhi proses penganugeahan projek.

Shahrizat juga beberapa kali menegaskan yang beliau tidak pernah memegang apa-apa jawatan dalam NFC dan juga tidak memainkan sebarang peranan di dalam proses penganugerahan projek ini kepada Agro-Science Industry Sdn Bhd.

Dalam melaksanakan dan mengimplementasikan NFC, kerajaan Malaysia telah meluluskan satu pinjaman berjumlah Rm250 juta yang mana ia telah dikeluarkan secara berperingkat menurut tempoh waktu dan jadual yang telah ditetapkan oleh perjanjian di antara NFC dan kerajaan Malaysia.

Pas sepatutnya terhina tak jaga portfolio islam di Selangor

PONTIAN 19 Jan. - Pas sepatutnya berasa terhina berikutan tindakan, Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim mengambil alih portfolio Hal Ehwal Islam yang sebelum ini disandang oleh parti itu sebelum ini, kata Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan.

"Tindakan berkenaan merupakan satu penghinaan halus terhadap kepimpinan Pas di Selangor. Daripada apa yang berlaku ini, kita dapat melihat bahawa mereka semakin disisihkan dalam pentadbiran kerajaan negeri,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) di Dewan Jubli Intan hari ini.

Semalam, semasa Khalid mengumumkan pelantikan Ahli Dewan Undangan Negeri Selangor kawasan Sijangkang, Dr. Ahmad Yunus Hairi daripada Pas sebagai Exco Kerajaan Negeri Selangor yang baru menggantikan Datuk Dr. Hasan Ali yang dipecat daripada Pas berkata, beliau sendiri akan menerajui portfolio agama yang sebelum ini disandang oleh Hasan. - BERNAMA

Wednesday 18 January 2012

Petronas Chinese New Year Ad - 2012 #Petronas CNY

Petronas Chinese New Year Ad - 2012 #Petronas CNY: Watch the new Petronas' Chinese New Year tv commercial for 2012 here!

Awie Disantau, Muntah Jarum & Bulu Ayam!

Tak habis lagi dengan isu sihir dan pengamalan ilmu hitam, kali ini Awie pula yang menjadi mangsa hasad dengki orang lain.

Mungkin juga kerana orang lain cemburu dengan kesenangan yang dimiliki Awie, siapa tahu kan? Dia yang baru sahaja selesai mengadakan persembahan di Istana Budaya bersama Ella mengadu keadaan dirinya bertambah teruk sejak akhir-akhir ini.

Menurut Harian Metro, kejadian yang terbaru berlaku terhadap Awie ketika dia sedang mengadakan persembahan di Istana Budaya minggu lepas. Sebelum ini dia hanya mengalami batuk-batuk dan bengkak kaki, tetapi tiba-tiba sahaja bulu ayam terkeluar dari mulutnya minggu lepas.

Awie sebelum ini tidak percaya akan perkara yang mistik namun selepas perkara ini berlaku terhadap dirinya dia percaya syaitan itu punca keadaan dirinya sekarang.

Saya dimaklumkan ia angkara ‘buatan orang’ yang tidak puas hati dengan saya. Sebelum ini saya tidak percaya sangat perkara mistik, namun saya yakin kewujudan syaitan.

Manifesto PR Negeri Sembilan cedok idea BN

Kerajaan Negeri menasihatkan kepada seluruh rakyat negeri ini agar tidak terpengaruh dengan manifesto Pakatan Rakyat (PR) yang dilancarkan baru-baru ini, di Gemas.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, manifesto itu sebenarnya berasaskan apa yang telah dilaksanakan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN). Menurutnya, pembangkang hanya mencedok idea Kerajaan Negeri dan menidakkan apa yang pernah dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri selama ini.

“Mereka (PR) hanya ambil idea dan pelaksanaan kita (BN), kemudian mencari sesuatu yang tidak betul untuk menyelar BN.

“Apa yang pasti, semua idea dalam manifesto berkenaan telah kita laksanakannya, misalnya pengisytiharan harta benda, BN telah lama lakukannya.

“Macam saya, semua harta benda saya isytiharkan dan hantar maklumat kepada Perdana Menteri, manakala semua ahli Exco Kerajaan Negeri pula, mereka isytiharkan kepada saya, selaku Menteri Besar," katanya.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat Exco Kerajaan Negeri, di Wisma Negeri, semalam. Mohamad berkata, BN adalah parti yang buat kerja dan tidak suka menabur janji berbanding pihak lain.

credit : SARINAH MAT KASIM

Bekas Pengarah Veterinar palsukan dokumen naik pangkat

Bekas Pengarah Jabatan Veterinar Negeri Sembilan Datuk Dr Noor Soeraya Norsham, yang dihadapkan ke Mahkamah Khas Rasuah di sini, mengaku tidak bersalah terhadap empat pertuduhan memalsukan dokumen bagi tujuan kenaikan pangkat.

Dr Noor Soeraya, 38, yang kini Pegawai Veterinar di Seksyen Komunikasi Korporat dan Antarabangsa, Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Kementerian Pertanian
dan Industri Asas Tani di Putrajaya, turut mengaku tidak bersalah terhadap tiga pertuduhan pilihan.

Hakim Datin Nursinah Adzmi membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin bagi semua pertuduhan dan menetapkan 22 Feb
untuk sebutan semula kes.

Mengikut pertuduhan pertama, Dr Noor Soeraya didakwa memberikan satu surat rujukan bertarikh 27 Feb 2009 berhubung Arahan Kenaikan Pangkat dan Pengesahan Jawatan Pegawai Veterinar Gred G48 yang mengandungi butiran palsu kepada Pembantu Tadbir di Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Sembilan, Siti Norhayati Md Yusof.

Ketika itu, tertuduh memangku Gred G44 dan didakwa melakukan perbuatan tersebut bagi tujuan kenaikan pangkat ke Gred G48, yang membolehkan penyelarasan
gaji dan elaun dibuat menyebabkan dia memperoleh secara salah RM39,536.90.

Bagi pertuduhan kedua, Dr Noor Soeraya didakwa memberikan satu surat rujukan bertarikh 28 Dis 2009 berhubung Arahan Memangku Jawatan Pegawai Veterinar Gred G52 - Khas Untuk Penyandang di Jabatan Veterinar, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, yang mengandungi butiran palsu kepada Siti Noorhayati. Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu bagi tujuan penyelarasan gaji dan elaun menyebabkan dia memperoleh secara salah RM5,013.82.

Dr Noor Soeraya juga didakwa memberikan surat rujukan bertarikh 1 Julai 2010 berhubung Keputusan Urusan Kenaikan Pangkat Pegawai Veterinar Gred G48 ke Gred G52 di Jabatan Veterinar, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, yang mengandungi butiran palsu kepada pembantu tadbir yang sama.
Dia didakwa melakukan ketiga-tiga kesalahan di pejabat Jabatan Veterinar Negeri Sembilan, Jalan Pantai di sini antara 16 Mac 2009 dan 2 Julai 2010 mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) 2009, dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman maksimum
penjara 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai kesalahan.

Mengikut pertuduhan keempat, Dr Noor Soeraya didakwa memberikan Siti Norhayati surat rujukan palsu bertarikh 31 Mac 2011 berhubung Keputusan
Pemangkuan Pegawai Veterinar Gred G52 ke G54, di Bahagian Pentadbiran Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Sembilan, Lot 1504, Mukim Pantai, Batu 6, Jalan Jelebu di sini pada 12 April tahun lepas.

Bagi pertuduhan pilihan, dia didakwa menggunakan tiga surat rujukan palsu berkaitan sebagai tulen mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum
mengikut Seksyen 465 kanun sama yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya SPRM Mohd Fairuz Johari menawarkan jaminan sebanyak RM20,000 dengan seorang penjamin bagi semua pertuduhan.
Peguam Mohammad Faiz Datuk Fadzil pula meminta mahkamah mengurangkan jumlah itu kepada RM3,000.

Beliau berkata ini kerana Dr Nor Soeraya telah berkeluarga dan menunjukkan komitmennya terhadap kes ini dengan hadir ke mahkamah.

Bagaimanapun, Hakim Nursinah berpendapat permintaan itu tidak munasabah kerana pertuduhan terhadap tertuduh amat serius. - Bernama

Bangunan tiga tingkat bilik darjah tambahan SJKC Putra akan dibina-MBN9

SEREMBAN 18 Jan. - Sebuah bangunan baru tiga tingkat yang bakal menempatkan bilik darjah tambahan akan dibina di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Putra, Nilai dekat sini menerusi kutipan dana RM1 juta hasil sumbangan orang ramai.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, pembinaan bangunan itu meliputi 14 kelas tambahan termasuk kemudahan bilik makmal, perpustakaan serta ruang bengkel kemahiran hidup.

"Tahniah saya ucapkan kepada lembaga pengelola, ibu bapa, pihak sekolah, penduduk setempat khususnya Tan Sri Gan Kong Seng kerana menderma sekali gus berjaya mengumpul dana sebanyak RM1 juta ke arah merealisasikan pembinaan bangunan baru tiga tingkat di sekolah ini.

"Bangunan baru ini dijangka siap dalam tempoh lapan bulan dan boleh digunakan selewat-lewatnya hujung tahun ini," katanya pada majlis pecah tanah pembinaan bangunan itu dan Penyampaian sumbangan kepada warga miskin sempena Tahun Baru Cina di padang sekolah berkenaan semalam.

Kerajaan peruntuk RM500,000 bina jambatan-MBN9

SEREMBAN 18 Jan. - Kerajaan negeri memperuntukkan hampir RM500,000 bagi menampung kos pembinaan jambatan baru di kampung Batu 11 1/4 Jalan Mantin, dekat sini bagi menggantikan jambatan asal yang roboh akibat banjir, baru- baru ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, kerja pembinaan akan dilakukan dengan segera bagi memastikan keselamatan serta kesejahteraan penduduk terus terpelihara.

''Kami amat prihatin dengan nasib penduduk di sini yang terpaksa membina sendiri jambatan sementara berikutan jambatan lama itu telah roboh.

''Kita akan pastikan jambatan baru yang bakal dibina ini lebih kukuh dan tinggi sedikit daripada saiz dan struktur sebelum ini," katanya pada sidang media lawatan sehari ke sekitar Nilai dan Mantin, semalam.

Jelas Mohamad, penduduk di kawasan berkenaan juga sering menghadapi masalah banjir lebih-lebih lagi ketika musim hujan.

''Berdasarkan pemerhatian, saya mendapati sungai di kampung ini juga semakin mengecil dan cetek, sebab itu setiap kali hujan air pasti akan melimpah sehingga mengakibatkan banjir.

''Maka saya akan pastikan pihak berkenaan mengorek serta membesarkan sungai di kampung ini sekali gus mengatasi masalah banjir yang sering dihadapi penduduk," ujarnya.

Katanya, memandangkan kawasan berkenaan tidak mempunyai kemudahan lampu jalan, pihaknya akan meminta Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk memasang lampu silang di sekitar lokasi terbabit.

Kampung berkenaan didiami kira-kira 100 orang penduduk hampir 50 tahun dan jambatan tersebut merupakan laluan utama mereka untuk keluar masuk kawasan terbabit

Wanita ditemui mati di Tmn Desa Melati, Nilai

SEREMBAN 18 Jan. - Mayat seorang wanita ditemui dalam keadaan berlumuran darah oleh seorang lelaki ketika sedang bersenam di sebuah taman permainan di Taman Desa Melati, Nilai dekat sini pagi ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 7 pagi, lelaki tersebut yang pada mulanya menyangka wanita berkenaan pengsan di bawah sebatang pokok di taman berkenaan, terkejut apabila menyedari wanita itu sebenarnya telah meninggal dunia.

Dia kemudian membuat laporan polis selepas mendapati terdapat kesan tikaman pada leher mangsa.
Ketua Polis Daerah Nilai, Supritendan Mohd. Yusoff Awang berkata, siasatan polis mendapati, mangsa ialah Raftah Abdul Samad, 51, berasal dari Kampung Pasir Putih, Labu dekat sini.

"Siasatan awal mendapati mangsa yang belum berkahwin mati kira-kira enam jam sebelum mayatnya ditemui lelaki berkenaan.

"Terdapat kesan tikaman pada leher mangsa di percayai ditikam senjata tajam," katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai hari ini.

Mohd. Yusoff berkata, polis turut menemui kereta jenis Proton Saga milik mangsa yang diletakkan kira-kira 50 meter dari lokasi mayatnya ditemui.

"Ketika dijumpai, mangsa memakai seluar jean, baju dan bertudung. Kita juga menemui telefon bimbit dan kunci kereta di dalam poket seluarnya.

"Polis menolak kemungkinan mangsa dirompak sebelum dibunuh kerana semua dokumen termasuk beg duit juga dijumpai dalam kereta mangsa," jelasnya.

Menurut Mohd. Yusoff lagi, seorang kakak mangsa memberitahu bahawa mangsa bekerja di sebuah hotel di Port Dickson dan tidak mengetahui di mana wanita berkenaan menetap.

Kali terakhir kakak mangsa menemuinya adalah petang kelmarin di rumah kakaknya itu di Labu, katanya.
Tambah beliau, polis sedang mengenal pasti suspek yang terlibat dalam pembunuhan itu dan mengapa mangsa berada di kawasan perumahan berkenaan.

"Mayat mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Ja'afar untuk bedah siasat dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh," katanya.

The Economist melabelkan Anwar sebagai pemimpin yang tidak boleh dipercayai

Tindakan Datuk Seri Anwar Ibrahim mempergunakan media asing sebagai platform untuk memburukkan Malaysia di luar negara dilihat memakan dirinya sendiri.

Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, keadaan tersebut disebabkan ketelusan yang didukung media berkenaan dalam menilai kesahihan kenyataan Ketua Pembangkang itu kini.

“Tindakan Anwar menjaja Malaysia sebagai negara tidak baik menunjukkan beliau seorang pemimpin yang tidak mengenang jasa setelah diamanahkan sebagai seorang pemimpin suatu waktu dulu dan pernah menerima habuan daripada negara.

“Oleh itu jika tohmahan terhadap negara diteruskan, dengan sendirinya telah memalapkan imej Anwar, sekali gus reputasinya akan turun serta lama-kelamaan ramai pihak tidak akan mempercayainya.

“Penilaian imej Anwar ini adalah seperti juga dikatakan oleh majalah The Economist dan beberapa pihak yang begitu telus dan lantang pandangan mereka terhadap pemimpin seperti itu,”

Beliau berkata demikian sebagai mengulas tindakan The Economist melabelkan Anwar sebagai pemimpin yang tidak boleh dipercayai walaupun Ketua Pembangkang itu baru dibebaskan daripada tuduhan meliwat bekas pembantu peribadinya.

Seperkara lagi, kata beliau, sepatutnya Anwar berterima kasih kepada sistem kehakiman negara atas pembebasan beliau berhubung kes liwatnya tempoh hari.

Namun sehingga kini beliau gagal menyatakannya dengan jelas. Ini menunjukkan Anwar tidak percayakan sistem tersebut.

“Kita harapkan masyarakat boleh menilai dan menzahirkan dalam bentuk yang konkrit terhadap reputasi serta pimpinan seperti ini.

“Kerja-kerja baik yang dilakukan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam situasi kini kian lama kian baik dan ini seharusnya diterima oleh masyarakat khasnya berhubung Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dan pelbagai bentuk bantuan selepas ini,” kata beliau.



Layak ke Khalid pegang portfolio Agama?

Pas Selangor menerima tamparan hebat apabila bukan sahaja Pesuruhjayanya, Dr. Abdul Rani Osman tidak dilantik menjadi Exco kerajaan negeri yang baru malah turut kehilangan portfolio Hal Ehwal Agama yang sebelum ini disandang oleh Datuk Dr. Hasan Ali yang digugurkan daripada jawatan itu Jumaat lalu. 
 
Ini berikutan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sijangkang, Dr. Ahmad Yunus Hairi, 47, yang mengangkat sumpah sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) hari ini hanya diberikan portfolio sebagai Pengerusi Jawatankuasa Tetap Adat Resam Melayu, Belia dan Sukan.

Melalui satu rombakan kecil pentadbiran negeri, Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengambil alih dua portfolio penting iaitu Hal Ehwal Islam, Infrastruktur dan Kemudahan Awam negeri yang sebelum ini dipegang oleh Hasan.

Kedua-dua portfolio itu diketuai sendiri oleh Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
Pada masa sama, beliau kekal menguasai portfolio Pembangunan Tanah, Kewangan, Majlis Tindakan Ekonomi Negeri manakala portfolio Belia dan Sukan diserahkan kepada Dr. Ahmad Yunus.

Pengumuman Dr. Ahmad Yunus menggantikan Hasan itu turut mengesahkan laporan Utusan Malaysia mengenai perkara itu sebelum ini.
Di mata Khalid, Rani hanya layak jaga Mikro Kredit je.. Kesian
 Sementara itu, dalam satu langkah yang dilihat sebagai menjaga hubungannya dengan Pas yang mahu Dr. Abdul Rani menggantikan tempat Hasan, Abdul Khalid mengumumkan Pesuruhjaya Pas Selangor itu dilantik sebagai Pengerusi Skim Mikro Kredit Miskin Luar Bandar (Skimsel).

Ahli Dewan Undangan Negeri Bangi, Dr. Shafie Abu Bakar dari Pas pula dipilih sebagai Pengerusi Perbadanan Adat Istiadat Melayu (Padat). Kedua-dua jawatan itu sebelum ini dipegang oleh Hasan.

Hasan pula masih kekal memegang jawatan Timbalan Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) ekoran pelantikannya itu berdasarkan kepada watikah daripada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkuat kuasa bagi sesi 2012 hingga 2014.

Monday 2 January 2012

Kerajaan tolong rakyat, PR memburuk-burukkan





Demi kepentingan politik sempit mereka, pembangkang berusaha memburukkan kerajaan dalam pelbagai isu.


Mereka ini lebih gemar memfitnah daripada memainkan peranan check and balance bagi memastikan kerajaan yang dipilih rakyat melaksanakan tanggungjawab dengan baik.


Pelbagai usaha dibuat kerajaan Barisan Nasional untuk mengurangkan beban rakyat, sebaliknya pihak pembangkang hanya berusaha memburuk-burukkan apa yang dibuat kerajaan.







N9 vs Kelantan 7 Jan 2012 di Bukit Jalil

HOBEN JANG HOBEN

Perlawanan merebut Piala Sumbangsih antara Kelantan dan Negeri Sembilan yang sebelum ini dijadualkan berlangsung di Stadium Sultan Mohamad Ke-IV, Kota Baharu pada 7 Januari kini diubah ke Stadium Nasional Bukit Jalil.

Kelantan merupakan juara Liga Super manakala Negeri Sembilan juara Piala Malaysia musim lepas.

Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, keputusan tersebut dibuat ekoran masalah tengkujuh di Kelantan ketika ini.

"Disebabkan masalah hujan yang berlarutan serta beberapa masalah lain, mesyuarat jawatankuasa pengelola perlawanan Sumbangsih di Kota Baharu hari ini memutuskan untuk mengubah gelanggang perlawanan ke Stadium Nasional Bukit Jalil,” katanya kepada Bernama.

Beliau yang juga Naib Presiden FAM berkata, kedua-dua pasukan telah menyatakan persetujuan untuk beraksi di stadium yang boleh memuatkan hampir 90,000 penonton.

"Harga tiket, tarikh dan masa perlawanan 8.45 malam tidak berubah,” katanya.

JKPT FAM menetapkan tiket perlawanan tersebut berharga RM15 untuk tempat duduk terbuka dan RM30 untuk tempat duduk utama.